Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mengakui bahawa beliau disenaraikan sebagai 'lulus' untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Ekoran itu, beliau menggesa agar kerajaan mengkaji semula sistem saringan dalam menentukan penerima yang layak menerima bantuan.
"Saya difahamkan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menerima senarai siapa layak dan tak layak, berasaskan berapa cukai yang layak dibayar dan berapa tidak layak bayar. Dan kemudian dia akan lihat layak atau tidak untuk mendapat BPN.
"Jadi bagi saya, sistem ini perlu dilihat semula, kerana akan menyebabkan orang yang tidak layak akan dapat bantuan (dan sebaliknya)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ditanya sama ada beliau sudah menerima wang itu di dalam akaun banknya, Mahfuz berkata bahawa beliau tidak tahu kerana tidak menggunakan sistem semakan dalam talian bagi akaun banknya, selain tidak dapat meninggalkan rumah ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan tetap menunaikan janji untuk belanja bekas perdana menteri Najib Razak berbuka puasa.
"Saya dah janji dengan Najib di Facebook, masa sidang parlimen ni, saya nak belanja dia buka puasa.
"Yang lebih saya akan derma untuk tabung guamannya, sebab dia yang muat naik di Facebook mula-mula. Saya anggap dia peminat setia saya, saya akan bantu dia," katanya berseloroh, merujuk respons yang dibuatnya terhadap hantaran Najib di Facebook.
Najib sebelum ini menyorot bahawa pemimpin Amanah itu tersenarai sebagai layak menerima BPN.
"Saya diberitahu (dan pihak saya juga telah check online) bahawa Mahfuz layak menerima bantuan seribu ringgit Bantuan Prihatin. Tahniah!
"Minta belanja kepci (KFC) bila wang dibayar, ya?" kata Najib pada kiriman itu.
Najib membuat hantaran itu selepas semalam, Malaysiakini melaporkan isterinya, Rosmah Mansor juga tersenarai sebagai 'lulus' menerima RM800 di bawah program BPN.
Ini berdasarkan semakan di laman web LHDN dengan memasukkan nombor kad pengenalan pasangan berkenaan.
Semakan dibuat selepas beberapa netizen membangkitkan isu itu dalam talian dengan menggunakan kad pengenalan pasangan berkenaan yang didapatkan daripada dokumen mahkamah.
Bagaimanapun, semakan selanjutnya terhadap status bantuan BPN yang diterima Rosmah pada jam 11.50 malam semalam menunjukkan paparan berbeza.
Jika sebelumnya hasil semakan memaparkan status "lulus", kini paparan yang ditunjukkan pada laman web itu sebagai "tiada rekod."
Dalam kiriman berasingan di Facebook, Najib menegaskan isterinya tidak pernah memohon BPN.
"Seperti diumumkan kerajaan, kerajaan akan membayar bantuan secara automatik mengikut database LHDN tanpa perlu dimohon.
"Bagaimanapun, bini saya kata dia tak pernah memohon dan juga tak pernah menerima SMS bahawa dia layak untuk dibayar RM800 itu," katanya.
Jelas Najib, sekiranya wang RM800 itu dibayar secara automatik ke dalam akaun bank isterinya, ia akan disumbangkan kepada Tabung Covid-19 yang ditubuhkan kerajaan.