Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Rakyat Malaysia mesti terus mengamalkan penjarakan sosial selama sekurang-kurangnya enam bulan selepas tamatnya tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memastikan pandemik Covid-19 benar-benar dapat dihapuskan.

Perkara itu dibangkitkan penasihat khas kepada perdana menteri mengenai kesihatan awam, Dr Jemilah Mahmood dalam perbincangan yang dikedalikan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, disiarkan secara langsung di Facebook tengah hari tadi.

Khairy bertanyakan soalan sama ada keadaan akan kembali normal seperti sebelum PKP dikuatkuasakan, atau akan wujud keadaan “normal baru” di kalangan masyarakat.

Ulas Jamilah, penting buat rakyat Malaysia mengamalkan penjarakan sosial antara enam ke sembilan bulan selepas PKP, memandangkan masih ada risiko dijangkitit Covid-19 dalam sela waktu itu.

“Kita sentiasa takut bahawa pandemik akan berlaku. Kita tahu ia akan berlaku, bukan soal ‘kalau’, tetapi soal ‘bila’ (akan berlaku). Persediaan masyarakat adalah penting.

“Pandemik ini menggugah seluruh sistem budaya dan sikap kita.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu bersalaman dan melawat kawan-kawan. Selepas tamat PKP nanti, kita tak boleh kembali kepada keadaan lama kita.

“Kita perlu lakukan penjarakan fizikal untuk sekurang-kurangkan enam ke sembilan bulan (selepas musim PKP). Kita kena kurangkan tabiat suka keluar, kerana kita perlu masa untuk virus itu benar-benar hilang,” katanya.

Jemilah yakin Malaysia akan dapat mengharungi kedua-dua fasa, baik fasa PKP, mahupun fasa selepas PKP.

Dia turut menggesa rakyat Malaysia untuk bermuhasabah diri tentang kelestarian alam sekitar memandangkan gangguan terhadap ekosistem semulajadi boleh menyebabkan timbulnya penyakit-penyakit baru.

“Kita perlu fikir tentang apa yang boleh kita lakukan untuk menyumbang kepada isu kelestarian (alam), kita perlu lindungi alam sekitar.

“Sebarang gangguan terhadap alam sekitar boleh menyebabkan timbulnya virus dan penyakit baru (yang sebelum ini tidak diketahui),” tambahnya.

Dr Jemilah Mahmood.

Meskipun dengan kesan negatif yang dibawa oleh pandemik Covid-19 di Malaysia, kata Jamilah, ia telah membuka jalan buat semua rakyat untuk saling menjaga keperluan orang lain dan tidak bersikap individualistik.

“Kita ada dua pilihan - sama ada kita menjadi lebih terpisah, nasionalistik, dan terasing di antara kita, atau kita menjadi lebih memahami, saling berhubung dan lebih bersatu padu sesama kita.

“Yang kemudian itu lebih penting, dan inilah masanya untuk kita fikir kembali, sebagai satu bangsa, tentang kebaikan buat keseluruhan masyarakat dan tidak menjadi ahli masyarakat yang individualisitik,” tambahnya lagi.

Berkongsi sentimen yang sama, ahli panel kedua, Dr Amer Siddiq Amer Nordin yang merupakan pakar psikiatiri dari Universiti Malaya berkata, selepas PKP nanti, rakyat Malaysia perlu bersiap sedia untuk mengamalkan penjarakan sosial bukan setakat enam bulan, malah mungkin sehingga setahun lamanya.

Katanya, bergerak ke hadapan, kerajaan sedang mempersiapkan rakyat Malaysia untuk berdepan kemungkinan sebegitu, memandangkan di sebalik tahap pematuhan PKP yang tinggi kini, masih terdapat sebilangan kecil rakyat yang melanggar perintah berkenaan.

Tambahnya, rakyat Malaysia boleh mencontohi Taiwan, yang disebabkan pengalaman lampaunya berdepan epidemik Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, rakyat negeri itu dengan segera mengamalkan penjarakan sosial sebaik terjadinya jangkitan Covid-19 di kalangan warganya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS