Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia di S'pura disaran tak pulang dalam tempoh PKP

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan warga Malaysia yang berada di Singapura untuk tidak pulang ke tanah air dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai rakyat Malaysia yang berusaha pulang ke tanah air melalui tambak Johor, dengan ada yang sehingga berjalan kaki.

"Jika boleh, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, diminta kekal tinggal di negara itu untuk tempoh dua minggu lagi.

"Kita tengah berbincang dengan pihak di Singapura sama ada majikan dapat kekalkan mereka di sana untuk dua minggu lagi," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kerajaan pada 3 April lalu memutuskan untuk mengetepikan kuarantin 14 hari untuk rakyat Malaysia yang kembali dari Singapura jika mereka boleh mengambil ujian sendiri di Singapura bagi membuktikan bahawa mereka negatif Covid-19.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Ismail Sabri kemudian menyatakan syarat untuk mereka pulan akan disemak semula. Syarat baru berlum diumumkan.

Rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari semua negara lain akan dihantar ke pusat kuarantin selama 14 hari.

Kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan dijadual berakhir 14 April ini.

Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan yang tidak penting mesti ditutup sementara orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah tanpa alasan munasabah.

Warga asing juga tidak dibenarkan masuk ke negara ini sementara rakyat Malaysia tidak dibenarkan keluar negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS