Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permintaan beras meningkat lebih 30 peratus sepanjang Mac

Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) membawa kepada peningkatan permintaan beras sehingga lebih 30 peratus pada Mac berbanding sebelum ini.

Pengurus Kanan Pemasaran Syarikat Faiza, Jadwa Abu Bakar bagimanapun berkata pihaknya mempunyai bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.

"Peningkatan memang banyak. Bulan Mac kita ada kenaikan lebih kurang lebih daripada 30 peratus sebenarnya berbanding dengan bulan sebelum itu.

"Memang sebab pembelian panik dan juga permintaan dari NGO untuk tujuan sumbangan. Tapi alhamdulillah kita dapat memenuhi lagi. Bahan masih mencukupi," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulaskan permintaan beras di sepanjang tempoh PKP.

PKP mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu sebagai langkah kerajaan memerangi wabak Covid-19. Ia dijangka berakhir pada 14 April ini.

Menurut Jadwa, syarikat pembekal beras cuma menghadapi masalah dari segi penghantaran ekoran permintaan yang tinggi.

"Kadang-kadang cuma tak boleh (hantar) tepat masanya. Sebab kita punya mesin pembekal kena ikut kapasiti. Dari segi penghantaraan itu ada masalah sikit.

"Bila permintaan itu terlampau tinggi. Kita kena ikut queue. Kita tak boleh hantar serentak. Kapasiti mesin masih sama. Lori-lori yang dihantar masih sama.

"Untuk meningkatkan penghantaraan pun kena ambil juga lori-lori dari luar. Sewa tambahan untuk nak cepatkan penghantaraan," katanya.

Terdahulu, Jadwa mewakili Syarikat Faiza menyambut Timbalan Menteri II Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MoA), Che Abdullah Mat Nawi melawat kilang tersebut di Taman Industri Subang, Selangor hari ini.

Kenaikan harga beras import

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kemungkinan kenaikan harga beras import Che Abdullah berkata bahawa ia satu perkara tidak dapat dinafikan.

"Tidak dapat dinafikan dari segi harga sebab isu Covid-19 ini berlaku di seluruh dunia.

"Jadi, masing-masing negara juga memastikan makanan dalam negara mereka mencukupi. Tidak dinafikan kemungkinan ada barangan yang akan meningkat harga.

"Namun, kerajaan sentiasa beri perhatian," katanya.

Ahli Parlimen Tumpat itu bagimanapun memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga beras tempatan.

"Harga beras tempatan tidak akan dinaikkan. Akan tetap kekal," katanya sambil menambah bahawa bekalan beras masih mencukupi walaupun Malaysia bergantung 30 peratus kepada beras import.

Menurutnya, kedudukan stok beras dalam negara di peringkat kilang, borong dan runcit sentiasa pada kadar konsisten iaitu purata 500,000 metrik tan.

"Purata penggunaan sebulan di negara dalam 200,000 metrik tan. Ini bermakna beras masih mencukupi selepas mengambil kira pengeluaran padi dan beras tempatan masih berterusan seperti biasa.

"Bernas juga telah menumpukan pembelian beras daripada negara selain daripada Vietnam dan Thailand seperti pengeluar dari India, Myanmar, Cambodia dan Pakistan," katanya.

Kekurangan bekalan beras di Kelantan stabil

Dalam perkembangan yang baru, Kementerian Pertanian menyatakan bahawa isu kekurangan bekalan beras di Kelantan kini stabil dan terkawal.

Dalam satu kenyataan media, kementerian itu berkata langkah awal telah diambil adalah dengan mengarahkan pihak Bernas melalui anak syarikatnya untuk menyediakan bekalan beras di kawasan terjejas dengan membekalkan dalam kadar segera.

"Isu kekurangan stok bekalan beras di Kelantan adalah kerana kawalan ketat serta penutupan pintu masuk di sempadan menyebabkan beras Siam yang menjadi pilihan tiada di pasaran. Manakala, kekurangan beras tempatan pula adalah ekoran dari kurangnya permintaan beras tempatan dalam pasaran negeri Kelantan," katanya.

"Secara keseluruhan, didapati bekalan beras di Kelantan mula stabil dan terkawal," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS