Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Bukan gelandangan perlu terus tinggal di pusat transit’

KORONAVIRUS l Mereka yang tersilap dianggap sebagai gelandangan dan dibawa ke pusat-pusat transit sementara hanya boleh meninggalkan premis itu selepas berakhirnya tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bercakap kepada Malaysiakini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata ini kerana virus Covid-19 masih merebak.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang bincang dan kalau betul, kita minta waris (mereka) datang ambil selepas PKP.

“Ya,virus sedang berjalan,” katanya ketika menjawab soalan sama ada individu-individu berkenaan akan dikehendaki terus tinggal di pusat-pusat itu.

Sejak minggu lalu, DBKL telah menempatkan lebih 500 orang gelandangan di pusat-pusat komuniti dan dewan serbaguna untuk memastikan mereka selamat daripada jangkitan wabak Covid-19.

Tempat perlindungan sementara ini terletak di Sentul Perdana, Setiawangsa, Alam Damai Cheras dan Tasik Ampang Hilir.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa sesetengah mereka di Pusat Sentul Perdana dan Alam Damai bukan golongan gelandangan dan ditahan ketika beratur untuk mendapatkan makanan percuma.

Dalam satu kejadian, polis dikatakan menahan seorang pemandu pelancong Indonesia yang sepatutnya berpindah ke sebuah rumah baru setelah melihatnya membawa sebuah bagasi.

Antara mereka yang ditempatkan di pusat perlindungan itu adalah pekerja asing yang mencari makanan percuma selepas berdepan masalah kewangan susulan pelaksanaan PKP.

PKP telah dilaksanakan pada 18 Mac dengan matlamat memutuskan rangkaian penularan jangkitan Covid-19. Ia dijadualkan berakhir pada 31 Mac tetapi dilanjutkan hingga 14 April.

Sebelum ini, adalah dilaporkan bahawa Kementerian Kesihatan akan menyediakan data pada 10 April bagi membantu kerajaan membuat keputusan sama ada ia perlu dilanjutkan lagi atau tidak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan akan dibuat berdasarkan sama ada jumlah kes baru Covid-19 setiap hari mencatatkan penurunan atau sebaliknya.

Sementara itu, seluruh Kuala Lumpur telah ditetapkan sebagai zon merah Covid-19 setelah setiap daerah di ibu negara mencatatkan lebih 40 kes positif.

Tiga bangunan - Selangor Mansion, Malaysian Mansion dan Menara City One - telah ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS