Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor terima 946 aduan isu syarikat beroperasi semasa PKP

Kerajaan negeri Johor menerima 946 aduan berkaitan syarikat yang menjalankan operasi perniagaan di Johor semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak perintah itu dilaksanakan sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata daripada aduan yang diterima menerusi panggilan telefon itu, 36 telah disiasat, dan empat majikan yang didapati gagal mematuhi perintah berkenaan telah diberi notis penutupan.

Beliau berkata antara jenis aduan yang diterima dan disiasat adalah syarikat beroperasi tanpa mendapat surat kebenaran daripada pihak berkuasa dan bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu, selain aduan mengenai pemberhentian pekerja serta syarikat tidak membayar gaji pekerja.

Menurutnya Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor bersama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor telah diberi kuasa di bawah Seksyen 3 dan 18(1)(F) Akta 342 berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat yang menjalankan operasi perniagaan semasa tempoh pelaksanaan PKP.

“Pihak JTK juga sedang menjalankan sesi mediasi berhubung 19 majikan yang telah mengisi borang permohonan pemberhentian pekerja, yang melibatkan 600 orang pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS