Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjagaan mini nurseri di rumah jadi terapi sepanjang PKP

Pelbagai aktiviti dilakukan rakyat negara ini bagi mengisi masa terluang mengikut minat dan kreativiti masing-masing sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tidak terkecuali buat seorang peminat bunga, Rohaiza Ab Rahman, 42, yang menjadikan nurseri mininya sebagai terapi yang menenangkan sepanjang tempoh PKP selain ia mampu menjana pendapatan.

Katanya sejak PKP dilaksanakan, dia mempunyai lebih banyak masa untuk menjaga tanamannya termasuk membaja, menyemai benih bunga dan melakukan proses pemangkasan.

"Sejak PKP saya hanya menjual bunga melalui pos. Jadi saya mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada proses menyuburkan tanaman di rumah," katanya Rohaiza di kediamannya di Kampung Lepar, Limbat di Kota Bharu, hari ini.

Rohaiza berkata terdapat kira-kira 100 spesis bunga yang ditanam di sekeliling rumahnya sejak diusahakan penghujung tahun lepas antaranya pelbagai jenis kaktus dan sukulen, bunga-bungaan seperti orkid, 'bromeliad', 'sandpaper vine', 'hydrangea', 'adenium', bunga kertas, 'sensiveria', bunga raya hybrid, keladi, kemuning bonsai, rulia, 'vinca', camelia dan harum sundal malam.

Katanya harga purata bunga yang dijual serendah RM25 hingga RM70 termasuk caj pos dengan kira-kira 150 pokok terjual setiap bulan.

"Saya banyak membuat promosi jualan melalui beberapa kumpulan peminat bunga di laman sosial Facebook yang ahlinya melebihi 30,000… cuma sepanjang PKP ini permintaan tidak sehangat sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun Rohaiza tetap bersyukur kerana aktiviti menguruskan tanaman bunga di rumahnya itu dianggap satu terapi terbaik dan menyihatkan dalam melalui tempoh #dudukdirumah sebagaimana saranan kerajaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS