Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli ekonomi: Lebih banyak perlu dilakukan untuk bantu pekerja PKS

Meskipun secara umum mengalu-alukan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM10 billion untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beberapa pakar ekonomi menggesa supaya lebih banyak usaha dilakukan bagi melindungi para pekerja dalam berdepan wabak Covid-19.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Ya Shin memberitahu Malaysiakini, terdapat beberapa kekurangan dalam Program Pengekalan Pekerjaan.

“Mereka yang bekerja sendiri dalam sektor tidak formal akan ketinggalan dalam pakej ini.

"Adalah baik untuk memperluaskan Program Pengekalan Pekerjaan untuk memasukkan sektor tidak formal melalui Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) bagi mereka yang bekerja sendiri, "katanya semalam.

"Pandangan saya ialah apabila terdapat batasan dalam ruang fiskal, maka kerajaan harus memberi keutamaan dan menyasarkan mereka yang paling terkesan.

“Kita perlu berkongsi beban yang sama di antara kerajaan, pekerja dan majikan. Majikan juga perlu menjaga pekerjanya sebanyak mungkin,” kata Wan (gambar bawah).

Pakar ekonomi dari Universiti Malaya (UM) Prof Rajah Rasiah pula memuji pakej rangsangan ekonomi terhadap PKS dalam meningkatkan subsidi upah yang disifatkan sebagai membantu, namun pakej tersebut tidak mengambil kira situasi pekerja yang tidak bekerja.

Beliau berkata jika ini berlaku, PKS perlu membayar baki gaji pekerja sendiri, walaupun terpaksa menutup syarikat.

Merujuk pendekatan United Kingdom katanya, Malaysia mungkin perlu mempertimbangkan untuk memberi 80 peratus daripada gaji dan sewa dalam situasi yang serupa.

"Kerajaan harus mempertimbangkan moratorium yang diperlukan syarikat kerana perintah (kawalan pergerakan) itu atau kerana pekerja mereka tidak dibenarkan pergi ke tempat kerja.

"Oleh itu, kerajaan perlu menanggung sekurang-kurangnya 80 peratus dari gaji dan sewa mereka, dan pada masa yang sama semua kepentingan dikecualikan dalam tempoh PKP.

"Kerajaan juga harus mempertimbangkan pemberian wang tunai yang lebih besar untuk menyelamatkan PKS berbanding firma besar untuk mengurangkan masalah aliran tunai mereka," kata Rajah (gambar di bawah).

Wakil dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berkata kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan antara 10 hingga 20 peratus daripada rizab antarabangsa untuk membantu PKS, yang seterusnya akan membantu para pekerja.

“Ini merupakan waktu yang sukar dan tidak banyak perdagangan berlaku. Oleh sebab kilang seluruh dunia ditutup dan begitu juga kita, sebagai negara ekonomi terbuka jangan lakukan perdagangan pada ketika ini.

“Mungkin kerajaan mampu menggunakan 10 hingga 15 peratus rizab antarabangsa,” kata Oh.

Tambahnya, kerajaan juga perlu mempertimbangkan individu dan syarikat PKS menangguhkan bayaran cukai dalam lingkungan tiga hingga enam bulan sebagai usaha tambahan membantu pihak terbabit menangani keadaan ekonomi kini.

“Kerajaan juga boleh menangguh pembayaran cukai pendapatan (kepada individu dan juga PKS) dalam tiga ke enam bulan. Juga kemungkinan tangguh pembayaran (KWSP) pada waktu sama.

“Bukan mengenepikannya tetapi tangguh bayaran, jika boleh,” kata Oh.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS