Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs: Jangan hukum penjawat awam kuat kuasa PKP
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 5:16 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta ketua jabatan tidak menghukum penjawat awam atau penguatkuasa yang melaksanakan undang-undang ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden Cuepacs, Adnan Mat melahirkan rasa kesal terhadap masyarakat yang masih gagal memahami tugas penjawat awam ketika ini.

"Cuepacs berharap setiap ketua jabatan yang terlibat membuat pertimbangan sewajarnya sebelum meletakkan kesalahan di bahu penjawat awam sahaja.

"Elakkan daripada mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh melunturkan motivasi kerja pejawat awam.

"Setiap keputusan yang dilakukan tidak boleh bertujuan untuk menjaga hati rakyat sedangkan petugas barisan hadapan melaksanakan tugas dengan baik mengikut situasi semasa yang memerlukan," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

Tiga hari lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Zaini Jass berkata, pihaknya tetap menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawainya di Kunak yang merotan lima remaja lelaki kerana mengingkari PKP, baru-baru ini.

Jelas Zaini, jika dilihat daripada sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu tidak wajar namun daripada segi moral ia adalah untuk memberi pengajaran kepada remaja terbabit kerana mengingkari arahan PKP.

Sebelum itu, tersebar satu video berdurasi 26 saat memaparkan seorang pegawai polis bertindak merotan lima remaja terbabit menggunakan ranting kayu kerana ingkar arahan.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi di media sosial terutama golongan netizen yang memuji langkah pihak berkuasa yang tegas dalam melaksanakan tugas memastikan rakyat mematuhi PKP.

'PN kambing hitamkan beberapa penjawat awam'

Dua hari lalu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan pula memaklumkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan polis berhubung rakaman video tular membabitkan anggota meninggikan suara terhadap lelaki yang diperiksa ketika sekatan jalan raya di Seri Kembangan.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika anggota polis bertugas melakukan proses dokumentasi terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an.

Sementara itu, bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa beberapa pegawai kerajaan telah menjadi kambing hitam sejak Perikatan Nasional (PN) memasuki Putrajaya.

Katanya, apabila membabitkan isu berprestasi dan popular menteri akan menerima pujian, namun dalam isu negatif atau liabiliti penjawat awam terpaksa memikulnya.

"Baru sebulan Kerajaan PN memerintah, dah beberapa anggota pegawai kerajaan dan penjawat awam telah menjadi mangsa di kambing hitamkan oleh mereka yang bernafsu menjadi menteri tetapi tidak mahu memikul tanggungjawab seperti sepatutnya.

"Pangkat dan kedudukan mesti disertai dengan rasa tanggungjawab menghadapi memikul kelemahan kementerian, masing masing.

"Apa yang berlaku ialah isu yang berprestasi baik dan popular di terima pujian oleh menteri sendiri tetapi yang negatif dan menjadi liabiliti di salahkan kepada pegawai kerajaan semata mata seolah tiada tanggungjawab bersama," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kontroversi membabitkan menteri besar negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) yang tidak dijemput dalam mesyuarat penting, namun ketua setiausaha negara dijadikan kambing hitam.

Katanya lagi, hal sama juga berlaku dalam isu kelulusan kilang arak beroperasi ketika PKP, namun Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dipersalahkan.

"Timbul pula isu kebenaran Kilang arak Heineken di benarkan beroperasi semasa tempoh PKP yang di kaitkan dengan surat di tandatangani ketua setiausaha KPDNHEP.

"Kononnya menteri dan timbalan mentri berkenaan tidak terlibat atau tahu menahu keputusan tersebut. Sekali lagi pegawai kerajaan di kambing hitamkan.

"Bukan itu sahaja, kelulusan lesen kilang arak ini juga terletak di bawah kuasa Kementrian Perdagangan dan Industri Antarabangsa-MITI.

"Bagaimana ia boleh terlepas pandang oleh dua menteri dan dua timbalan menteri di bawah dua kementrian, susah untuk dipercayai ia satu kesilapan," dakwanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS