Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Polis tinggikan suara pada pelanggar PKP tak perlu diambil tindakan'
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) R Sri Sanjeevan meminta agar tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas anggota polis yang meninggikan suara terhadap seorang individu seperti yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

Katanya, video yang tular itu “amat jelas” menunjukkan bahawa bukan anggota itu yang memulakan provokasi, sebaliknya individu berkenaan yang terlebih dahulu meninggikan suara.

“Saya dengan rendah diri memohon Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Daerah Serdang supaya jangan ambil sebarang tindakan terhadap anggota ini [...]

“Ketika sedang kita berperang dengan Covid-19 ini, ramai yang masih ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan adalah kita masih mahu polis berlembut dengan mereka ini?

“Bagi saya tindakan individu dalam video itu yang meninggikan suara kepada pihak polis adalah kurang sopan dan tidak beradab sekali,” katanya dalam satu hantaran di blognya.

Malah, kata Sanjeevan, berdasarkan Seksyen 11 (4) – Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, seseorang pegawai dibenarkan menggunakan kekerasan bagi memastikan arahan untuk mengawal penyakit daripada tersebar supaya dipatuhi.

“Tapi dalam isu video tular ini, anggota tersebut bukannya menggunakan kekerasan tapi hanya menasihati individu tersebut dengan nada tinggi,” katanya lagi.

Di bawah “pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan” akta berkenaan, adalah sah bagi bagi mana-mana pegawai yang diberi kuasa untuk mengarahkan penduduk di kawasan berkenaan diasingkan, diperhatikan, diawasi atau dikenakan apa-apa langkah yang difikirkan perlu oleh pegawai berkenaan.

Juga, dalam akta sama, adalah sah bagi pegawai berkenaan untuk menggunakan kekerasan yang perlu selain menggunakan apa-apa cara yang mencukupi untuk memastikan bahawa apa-apa arahan yang dikeluarkan di bawah dipatuhi.

Selain itu, Sanjeevan turut menasihati warganet supaya tidak membuat spekulasi dan tidak menjadikan video berkenaan sebagai isu perkauman, selain meminta orang ramai menghormati petugas barisan hadapan, yang meurutnya, juga merupakan manusia yang mempunyai emosi.

Dalam video tular berdurasi 17 saat itu, seorang lelaki Cina dirakam meninggikan suara kepada seorang anggota polis yang memberinya teguran, sebelum seorang lagi anggota polis menengking lelaki berkenaan kerana tidak senang dengan nada suara yang digunakannya.

Dua hari lalu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, lelaki berkenaan didapati keluar dalam tempoh PKP semata-mata untuk membeli makanan di kedai makan pilihannya sedangkan ada kedai lain berdekatan rumahnya.

Kata Ismadi, semua individu terbabit dalam kes berkenaan akan dipanggil untuk diambil keterangan, selain siasatan dalam turut dilakukan bagi memastikan sama ada berlaku pelanggaran disiplin pada anggota yang bertugas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS