Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan sampai warga kementerian terpalit dengan maksud Mewa'
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyatakan ucapan terima kasih kepada Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr Awang Sariyan yang bersetuju dengan cadangan agar singkatan nama Kementerian Alam Sekitar dan Air ditukar kepada 'Kasa' berbanding 'Mewa'.

Dalam satu hantaran di Facebook, Sim berkata, singkatan Kasa lebih baik bagi mengelakkan warga di kementerian itu terpalit dengan maksud perkataan 'mewa'.

"Kan lebih baik guna 'Kasa', jangan nanti warga kementerian terpalit dengan 'Mewa'.

“..Singkatan yang dah baik-baik belaka dalam bahasa kebangsaan tak payahlah ditukar sesuka hati.

“Kalau betul-betul nak tukar atas sebab-sebab tertentu, cari nama yang mempunyai maksud yang baik, jangan main hentam sahaja,” kata Sim yang membahasakan dirinya 'boss' dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini nama 'Mewa' dipertikaikan beberapa pihak selepas sebuah portal berita melaporkan singkatan dalam bahasa Inggeris - 'Ministry of Environtment and Water' itu - mempunyai makna 'bingung' atau bodoh dalam dialek Kelantan.

Susulan itu, Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, singkatan nama Kasa yang diambil dalam bahasa Melayu itu lebih sesuai dengan nama kementerian itu sendiri.

Prof Dr Awang juga menjelaskan Kasa mempunyai beberapa makna yang boleh dirujuk dalam laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu kain halus atau dalam sastera klasik ialah singkatan bagi “angkasa”.

Sementara itu, Sim dalam kenyataannya juga menggesa pihak yang terlibat tidak mempolitikkan peranan bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu tidak akan maju selagi dipolitikkan dan dijadikan senjata untuk menghentam musuh politik.

“Bahasa Melayu akan maju jika diberi ruang menjadi bahasa pembawa ilmu bukan bahasa yang dikongkong politik bobrok dan assobiyah,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata singkatan nama baru kementerian itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam peringkat kementerian nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS