Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan membenarkan mana-mana premis perniagaan dibuka atau ditutup semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) terletak pada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan negeri Selangor untuk membenarkan bengkel kereta dan kedai alat ganti dibuka untuk tujuan kecemasan sepanjang tempoh PKP.
“Ini bukan hari biasa. Hari biasa PBT (pihak berkuasa tempatan) boleh guna kuasa mereka untuk benarkan atau tidak membenarkan sesuatu industri ataupun premis pernaigaan dibuka termasuk bengkel dan sebagainya.
“Tapi ini bukan hari biasa. Waktu ini adalah MKN yang boleh keluarkan arahan dan boleh keluarkan SOP (prosedur operasi standard) dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri, yang juaga adalah menteri pertahanan berkata beliau berharap perkara seumpama itu tidak akan berulang.
“Jadi saya amat berharap, beberapa kali saya dah sebut, saya harap keputusan yang melibatkan negeri atau libatkan daerah mesti diselaraskan dengan kerajaan persekutuan dan segala keputusan adalah berdasarkan kepada keputusan dibuat oleh MKN.
“Jadi saya haraplah perkara-perkara ini dapat kita selaraskan supaya semua bantuan dan sokongan daripada pihak KKM, polis, tentera dapat kita selaraskan untuk membantu mereka. Saya harap tidak akan berlaku lagi perkara-perkara yang disebutkan tadi,” katanya.
Semalam, exco kerajaan negeri Selangor Ng Sze Han mengumumkan bahawa bengkel dibenarkan beroperasi untuk tujuan membantu orang ramai semasa kecemasan.
“Kebenaran ini adalah untuk tujuan kecemasan di mana masalah kereta dapat dibaiki demi keselamatan rakyat, terutamanya mereka yang perlu bekerja dalam tempoh PKP ini yang menghadapi masalah kenderaan.
“Tetapi semua individu, dalam apa juga situasi perlu mematuhi jarak sosial 1 meter apabila berada di tempat awam seperti itu," kata Ng yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pembangunan kampung baru.