Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Jangan undang murka Allah
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 11:19 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Pemimpin PAS terus membantah keputusan kerajaan membenarkan kilang arak terus beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang berlangsung ketika ini.

Sambil menyifatkan tindakan sedemikian umpama mengundang kemurkaan Allah SWT ketika mana negara dilanda wabak Covid-19.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad menggesa pihak kerajaan menarik balik kelulusan operasi kilang itu ketika PKP.

"PAS berpandangan pengeluaran minuman keras bukanlah satu keutamaan bahkan tidak termasuk kategori essential services (perkhidmatan penting).

"PAS konsisten dengan prinsip bahawa arak menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

"PAS menghormati hak bukan Islam untuk minum minuman keras sepertimana dasar yang dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu, tetapi ia bukanlah keperluan semasa dalam menghadapi situasi kritikal wabak Covid 19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamaruzzaman berkata, PAS melalui wakilnya dalam kabinet akan menyuarakan perkara ini supaya dikaji semula.

Terdahulu tular sepucuk surat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pengecualian kepada syarikat arak itu untuk beroperasi ketika PKP.

Dalam surat bertarikh 31 Mac yang dilihat Malaysiakini, kementerian berkenaan membenarkan syarikat pembekal bir itu beroperasi dalam PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Pihak Heineken kemudian mengesahkan ketulenan surat itu melalui satu kenyataan sambil menambah bahawa operasi terhad mereka itu hanya dibenarkan dengan 10 peratus pekerja semasa PKP.

Tiada tolak ansur, kata Fadhli Shaari

Seorang lagi pemimpin PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang juga anggota Parlimen Pasir Mas, berkata kerajaan tidak boleh bertolak ansur dalam isu berkenaan.

"Jangan ada sebarang tolak ansur dengan industri arak. Jangan undang kemurkaan Allah SWT pada saat kita benar-benar mengharapkan perlindungan-Nya.

"Saya memohon KPDNHEP membuat penjelasan rasmi terhadap surat yang telah tular di media sosial iaitu kebenaran kepada syarikat arak, Heineken Malaysia Bhd untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

"Jika surat itu adalah tulen, saya memohon agar kerajaan khususnya kementerian berkaitan menarik balik kebenaran tersebut," jelasnya yang arak bukanlah satu perniagaan dan perkhidmatan termasuk di dalam kategori penting.

Tambahnya lagi, sebagai sebagai seorang Muslim, beliau dan umat Islam tentunya wajib berdiri untuk menyatakan bantahan terhadap apa juga kelonggaran dan keistimewaan yang diberikan kepada industri arak itu.

Apatah lagi dalam situasi negara sedang berdepan dengan ancaman wabak Covid-19 ini.

"Apakah nilai yang tinggal kepada seorang Muslim yang berdoa kepada Tuhannya sedangkan membiarkan arak mengalir di bawah sejadah dalam keadaan dia bisa menyekatnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS