Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noor Hisham: Belum ada laporan Covid-19 merebak melalui makanan

Setakat ini tiada laporan yang menyatakan wabak Covid-19 boleh merebak melalui makanan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia susulan kebimbangan berkenaan beberapa restoran yang menyediakan makanan untuk dibawa pulang mempunyai pekerja yang positif wabak itu.

"Kita belum dengar virus ini merebak melalui makanan tetapi jika salah seorang pekerja positif Covid-19, maka kita perlu saring kontak rapat restoran itu," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu hari ini, Ikea Tebrau memaklumkan menutup perkhidmatan makanan untuk dibawa pulang buat sementara selepas seorang pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Hisham berkata projek terowong sanitasi di Tawau, Sabah merupakan ciptaan yang baik tetapi menekankan Kementerian Kesihatan hanya melihat kepada data dan rawatan berasaskan bukti.

"Ia boleh jadi inovasi yang baik tetapi sebagai Kementerian Kesihatan, kita berdasarkan fakta, bermakna kita perlukan fakta dan bukti...

"Mungkin kita perlu lihat kepada penyelidikannya, sama ada ia menunjukkan (terowong itu) berkesan atau tidak, kimia apa yang digunakan," katanya.

Noor Hisham juga berkata, salah satu kaedah yang digunakan Kementerian Kesihatan ialah saringan massa di kalangan kumpulan berisiko tinggi, antaranya mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakiat atau pernah menghadiri perhimpunan.

Kementerian itu juga masih mengadakan saringan terhadap komuniti Rohingya dengan bantuan NGO, antaranya Mercy Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Setakat ini, katanya lagi, kira-kira dua atau tiga pelarian Rohingya telah didapati positif Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS