Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk di kawasan dikenakan PKPD boleh pesan barang di pusat disediakan
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 4:04 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Selain barangan keperluan yang diagihkan kerajaan, penduduk di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dibenarkan membuat pesanan untuk barangan lain menerusi pusat yang ditubuhkan dalam kawasan itu.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata pusat tersebut, yang memantau pergerakan dalam kawasan itu, turut bertanggungjawab mengedarkan barang yang dipesan penduduk.

"Kita tak hantar lampin ke setiap rumah sebab tak tahu siapa yang memerlukannya Kita tak hantar susu bayi.

"Tetapi mereka boleh buat pesanan kepada pusat yang akan beli dan hantarkan," katanya yang juga menteri kanan untuk kluster keselamatan.

"Kalau mereka rindu nak makan daging dan nak beli, mereka boleh pesan di pusat itu. Kita tidak hantar semua kepada mereka kerana keperluan berbeza," katanya lagi, sambil menambah penduduk perlu membayar sendiri untuk barang yang dipesan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Setakat ini, dua kawasan di Kluang, Johor, Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor, dan Menara One City di Kuala Lumpur telah dikenakan PKPD ekoran peningkatan kes Covid-19 di sana.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS