Pusat servis kenderaan dan kedai alat ganti di Selangor dibenarkan beroperasi bagi tujuan kecemasan, sepanjang fasa kedua perintah kawalan pergerakan.
Ia dibenarkan beroperasi bermula 9 pagi hingga 4 petang setiap hari. Stesen minyak pula dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 8 malam.
Menurut Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata keutamaan dibenarkan kepada pekerja barisan depan dan kalangan dalam perkhidmatan penting.
"Kebenaran ini adalah untuk tujuan kecemasan di mana masalah kereta dapat dibaiki demi keselamatan rakyat, terutamanya mereka yang perlu bekerja dalam tempoh PKP ini yang menghadapi masalah kenderaan.
“Tetapi semua individu, dalam apa juga situasi perlu mematuhi jarak sosial 1 meter apabila berada di tempat awam seperti itu," katanya seperti dipetik.
Menurut Kementerian Kesihatan, Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi setakat tengah hari semalam - dengan 890 kes positif - dengan empat daerah telah dikategorikan sebagai zon merah.