mk-logo
Berita
Tiada bazar Ramadan, Gawai di S'wak tahun ini, kata Abang Jo
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 2:03 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan dan bazar Gawai diadakan di negeri ini tahun ini bagi membendung penularan wabak Covid-19, kata Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg.

Berikutan keputusan itu, beliau berkata peniaga dan pembeli di negeri ini digalak menggunakan transaksi jual-beli dalam talian atau e-bazar Ramadan bagi membekal dan mendapatkan makanan atau bahan keperluan semasa bulan Ramadan serta persiapan untuk Gawai yang disambut pada 1 Jun depan.

“Bazar Ramadan ini (biasanya diadakan) di kawasan bandar dan pinggir bandar. E-bazar Ramadan ini adalah satu usaha untuk memudahkan pembeli memesan makanan di bulan Ramadan, begitu juga Bazar Gawai,” katanya di Miri hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis simbolik penghantaran bantuan makanan kepada penduduk luar bandar di Miri, yang merupakan sebahagian daripada pakej bantuan kerajaan negeri yang diumumkannya pada 23 Mac lepas.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak sejak beberapa tahun ini menggalakkan penggunaan teknologi telekomunikasi dalam semua bidang dan keperluan itu semakin ketara dalam keadaan negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS