mk-logo
Berita
Covid-19: E-bazar Ramadan sedang dibangun, kata persatuan penjaja
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Pembatalan bazar Ramadan angkara wabak Covid-19 pasti menjejaskan punca pendapatan para peniaga yang saban tahun mencari rezeki dengan menawarkan sajian juadah berbuka dan kelengkapan sambutan Aidilfitri.

Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) mengambil maklum larangan bagi membendung penularan Covid-19, justeru pihaknya sedang membangunkan platform e-bazar Ramadan.

Kata gabungan itu, platform perniagaan dalam talian berkenaan akan memberi peluang kepada ahlinya menjana pendapatan.

Setiausaha Agung GPPPKMM, Mohamed Zamri Mohammed dipetik BH Online berkata sebuah laman web akan dibangunkan bagi proses jual beli melalui e-bazar Ramadan itu yang mempunyai rangkaian dengan syarikat logistik.

“Melalui platform ini, kita akan wujudkan rangkaian penghantaran dalam kalangan ahli juga untuk mengurangkan kos...sehingga kini permintaannya tinggi dan kita laksanakan dulu di Wilayah Persekutuan.

“Bagi pelaksanaan di luar Wilayah Persekutuan, ia akan dipantau oleh persatuan di negeri masing-masing bagi memastikan kejayaannya, ” katanya.

Jelasnya,inisiatif yang masih di peringkat awal itu sudah pun mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peniaga bazar yang tampil untuk menyertai platfrom terbabit

Beberapa negeri antaranya Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setakat ini membatalkan operasi bazar Ramadan.

Mohamed Zamri juga dilaporkan berkata, usaha secara persendirian turut dilaksanakan oleh peniaga di sesuatu kawasan dengan mewujudkan rangkaian e-bazar melalui laman sosial Facebook dan WhatsApp.

Katanya, secara keseluruhan lebih 100,000 peniaga bazaar di seluruh negara terjejas ekoran wabak Covid-19, melibatkan kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya RM50 juta.

“Di Kuala Lumpur sahaja, ada kira-kira 10,000 peniaga yang terkesan membabitkan peniaga bazar iftar yang menjual makanan dan bazar ria yang menjual kelengkapan Hari Raya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS