mk-logo
Berita
MP Kota Samarahan positif ujian Covid-19
Diterbitkan:  Apr 5, 2020 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

MP Kota Samarahan Rubiah Wang dilaporkan positif ujian Covid-19 menyusuli beberapa ahli politik Sarawak yang dijangkiti wabak itu.

Borneo Post memetik Menteri Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai mengesahkan perkara itu pada sidang akhbar semalam mengenai keadaan Covid-19 di Sarawak.

Abdul Karim ialah pemangku timbalan ketua menteri Sarawak dan pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Ini memandangkan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas kini menjalani kuarantin di rumah setelah bertemu dengan orang yang diuji positif Covid-19.

Beliau dilaporkan berkata beberapa pemimpin negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hasan dan tiga menteri penuh negeri - Fatimah Abdullah, Dr Sim Kui Hian, Stephen Rundi Utom - juga diperintahkan menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Ahli politik Sarawak yang diuji positif setakat ini ialah pembantu menteri pengangkutan negeri Jerip Susil, yang juga Adun Mambong, Anggota Parlimen Sarikei Andrew Wong dan MP Bandar Kuching Kelvin Yii.

Wong dilaporkan masih dirawat di Hospital Sibu manakala Yii baru-baru ini telah keluar hospital selepas pulih sepenuhnya.

Menurut The Borneo Post, Jerip dilaporkan mengesahkan beliau telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (SGH) pada malam Khamis untuk rawatan, dan beliau dijangkiti Covid-19 melalui kontak dengan seseorang dalam kumpulan Gereja Good News Fellowship Conference .

Sejak itu, Adun Tasik Biru, Henry Harry Jinep dan Adun Bukit Semuja, John Ilus juga mengumumkan mereka menjalani kuarantin sendiri selepas berhubung dengan Jerip semasa mesyuarat pengurusan bencana daerah baru-baru ini di Bau dan Serian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS