Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tabung Covid-19 P Pinang: Speaker sumbang sebulan gaji, adun potong 30 peratus

Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang mengumumkan akan menyumbangkan sebulan gajinya untuk dana Covid-19 negeri itu.

Law yang merupakan bekas adun Bukit Tambun dari PKR, berkata beliau berharap sumbangannya itu akan memberi makna kepada usaha melawan wabak tersebut.

"Saya hanya mahu menyumbang kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang untuk menunjukkan sokongan saya terhadap usia mulia melawan pandemik itu.

"Saya sangat yakin kerajaan Pulau Pinang mampu meminimumkan impak pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP), dan mengatasi waktu-waktu sukar ini tidak lama lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga menyuarakan penghargaan kepada NGO dan penduduk negeri itu yang menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan ketika ini.

Law Choo Kiang

Sementara itu, ketua adun kerajaan negeri Teh Lai Heng (DAP-Komtar) dan ketua pembangkang Muhamad Yusof Mohd Noor (BN-Sungai Dua) dalam satu kenyataan bersama mengumumkan semua adun di negeri itu akan menyumbang 30 peratus daripada gaji mereka kepada tabung Covid-19 negeri.

Katanya, semua 29 adun, termasuk tiga adun pembangkang, telah setuju untuk menyumbang kepada tabung itu, yang diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow akhir Mac lalu.

"Menerusi sumbangan 30 peratus gaji ini, diharapkan segala usaha serta inisiatif kerajaan negeri dapat dipertingkatkan. Sama-sama kita bendung penularan wabak Covid-19 dan bangunkan semula negeri yang kita cintai ini," kata mereka.

Mereka turut menyuarakan penghargaan kepada Chow atas peruntukan RM30,000 kepada semua adun untuk berdepan dengan wabak tersebut.

"Turut dihargai adalah sumbangan penutup muka dan kelengkapan-kelengkapan lain untuk kegunaan serta keperluan komuniti setempat di kawasan DUN masing-masing," kata mereka lagi.

Tabung tersebut merupakans sebahagian daripada Pakej Bantuan Rakyat bernilai RM75 juta bagi melawan pandemik itu, di tengah-tengah PKP yang sudah masuk hari ke-18.

Selain itu, selain menyumbangkan 30 peratus gajinya, Adun Kebun Bunga dari PKR, Jason Ong Khan Lee juga telah menyumbangkan RM5,000 untuk dana kawasannya.

Berterima kasih dengan peruntukan RM30,000 oleh kerajaan negeri, Ong berkata ia tidak memadai untuk menghadapi fasa kedua PKP.

"Belanja harian kita telah mencapai kira-kira RM3,000, sementara saya belanjakan RM4,600 untuk pasukan Mount Erskine Voluntary Fire Fighters melakukan kerja nyahkuman baru-baru ini di Kebun Bunga dan kawasan sekitar.

"Saya juga akan membelanjakan RM4,000 untuk kebuk nyah kuman di Pasar Rifle Range," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS