Penjara di Malaysia sudah cukup sesak sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, kata seorang jurucakap Jabatan Penjara.
Dia berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini berhubung surat Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang meminta mahkamah tidak lagi menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut surat itu, yang telah disahkan Jabatan Penjara, Zulkifli berkata setakat 1 April lalu, sejumlah 378 orang telah dipenjarakan kerana melanggar PKP.
Jurucakap itu memberitahu Malaysiakini, langkah pemenjaraan itu menyebabkan penjara bertambah sesak dan "mustahil" untuk melaksanakan penjarakkan sosial.
Katanya, setakat ini sejumlah 73,000 banduan ditempatkan di 50 penjara di seluruh negara, yang sewajarnya hanya untuk 52,000 banduan.
"Dengan keadaan sekarang, tidak mungkin melaksanakan penjarakkan sosial di penjara yang sudah sesak.
"Banduan tidak bercampur dengan orang di luar, maka tiada risiko penularan Covid-19.
"Jika ia mula (menular) di penjara, maka di mana lagi kita nak tempatkan mereka? ia akan jadi masalah bukan saja kepada penjara, tetapi negara," kata pegawai itu.
Dia berkata surat tersebut sepatutnya hanya beredar antara agensi dan hanya cadangan untuk mengelakkan penularan wabak itu di penjara.
Dalam surat itu, Zulifli antara lain memberi peringatan bahawa Covid-19 boleh "menjadi tempat penularan wabak Covid 19 yang tidak terkawal" yang mengancam nyawa kakitangan dan banduan.
Zulkifli mencadangkan agar mahkamah menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat kepada mereka yang melanggar PKP, mengikut Akta Kehadiran Wajib 1954.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.