Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail dakwa pusat kuarantin buruk di Sabah 'berita palsu'
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 4:20 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Kementerian Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mendakwa imej tular yang memaparkan keadaan daif sebuah pusat kuarantin Covid-19 di Sabah baru-baru ini sebagai berita palsu.

Ismail menafikan perkara itu, meskipun diakui oleh pegawai dari kerajaan pusat dan negeri sebelum ini.

“Beberapa hari lepas ada berita palsu kononnya pusat kuarantin buruk di Sabah dan (perkara itu) telah dinafikan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung penguatkuasaan terhadap berita palsu.

Setakat semalam, katanya, sebanyak 184 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pada 1 April, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon mengakui kemudahan asas dan tahap kebersihan di beberapa pusat kuarantin di negeri itu tidak mencapai piawaian dan “tidak boleh diterima”.

Ini setelah seorang individu memuat naik beberapa keping gambar dan klip video di media sosial, memaparkan keadaan buruk dan kotor di pusat kuarantin di Penampang, Sabah, yang dikhaskan untuk menguarantin individu yang pulang dari luar negara.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah juga mengakui masalah itu dan berkata semua pusat kuarantin hendaklah berada dalam keadaan "boleh dihuni".

"Kemudahan (untuk digunakan sebagai pusat kuarantin) dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma).

"Pada mulanya, mereka mengambil semua kemudahan yang ada, jadi mereka perlu memastikan yang mana yang boleh didiami.

"(Kemudahan) yang tidak boleh ditempati, kami juga tidak akan mengesyorkan ia digunakan," kata Noor Hisham kepada Malaysiakini.

Ismail sebelum ini turut mendakwa The Edge menerbitkan berita palsu, yang dinafikan syarikat penerbitan berkenaan dengan mendakwa Ismail membuat kenyataan tanpa membuat semakan terlebih dahulu. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS