Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 1,000 dikuarantin sebaik tiba dari luar negara
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 3:53 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Lebih 1,000 rakyat Malaysia telah dikuarantin pada hari pertama penguatkuasa peraturan mewajibkan mereka yang pulang dari luar negara 'diasingkan' selama 14 hari bagi mencegah penularan Covid-19.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sehingga kini menunjukkan semuanya berjalan dengan baik.

"Semalam pelaksanaan pusat kuarantin wajib di mana rakyat kita pulang dari luar negara diwajibkan terus kuarantin selama 14 hari.

"Semalam saja, 1,188 rakyat kita dikuaranti di seluruh negara, 711 daripadanya ketibaan melalui Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Pada 2 April lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan kuarantin wajib ke atas rakyat Malaysia dan warga asing yang masuk ke negara ini membabitkan semua kemasukan melalui jalan darat, laut dan udara serta ketibaan di semua pintu sempadan termasuk Sabah dan Sarawak.

Perkara itu diumumkan Ismail yang menjelaskan rakyat Malaysia tiba di pintu sempadan, semua akan dibawa dengan bas terus ke pusat kuarantin yang ditetapkan.

Katanya, ada pasukan khas yang mengendalikan rakyat Malaysia yang di bawa ke pusat kuarantin yang ditetapkan itu.

Kesemua mereka akan dikuarantin selama 14 hari di pusat kemudahan kuarantin yang disediakan kerajaan.

Langkah itu diambil selepas mereka yang pulang dari luar negara sebelum itu diminta kuarantin diri sendiri secara sukarela, namun gagal mematuhinya.

Berita palsu dibawa dengan kenderaan penjara

Dalam pada itu, Ismail berkata sejak 19 Mac lalu seramai 4,933 telah dikuarantin di seluruh negara di bawah PKP.

Jelasnya, bagi penumpang yang ingin meneruskan perjalanan di Sabah dan Sarawak boleh terus pulang ke negeri itu sebaik tiba di KLIA.

Bagaimanapun, buat masa ini tiada penerbangan pulang ke Borneo dan mereka yang tiba dI KLIA perlu dikuarantin di pusat kuaranti Kuala Lumpur atau Selangor.

Sementara itu, Ismail menafikan dakwaan yang mendakwa warga Malaysia yang pulang dari luar negara dibawa dengan kenderaan penjara ke pusat kuarantin.

"Berita itu tidak benar kerama semua penumpang pesawat yang akan dikuarantin akan dibawa menggunakan bas disediakan oleh pihak kerajaan atau Nadma.

"Ini bermakna berita palsu terus berlegar dalam negara kita walaupun keadaan seperti Covid -19 ini sepatutnya semua mesti berusaha untuk tenangka rakyat dan bantu kerajaan, tapi masih ramai penyebar berita palsu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS