Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan tangguh bayaran balik LPPSA akan dibawa ke kabinet

Cadangan untuk menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium bagi peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk penjawat awam akan dibawa untuk perbincangan kabinet minggu depan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata semua cadangan akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan juga kementerian serta agensi yang berkaitan.

"Jadi tunggulah pengumuman kalau ada mengenai ini (moratorium bagi LPPSA)," katanya ketika ditanya cadangan supaya peminjam LPPSA turut diberikan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan kepada peminjam yang juga penjawat awam bagi meringankan beban mereka ketika penularan COVID-19.

Ditanya sama ada cadangan itu akan dibawa ke kabinet nanti, Tengku Zafrul berkata: "Perbincangan dalam kabinet insya-Allah minggu depan. Jadi kita tunggu lepas perbincangan kabinet. Ada banyak cadangan tapi kita akan bincang cadangan-cadangan yang boleh membantu."

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan peralatan perubatan iaitu 10 unit ventilator bernilai RM1.2 juta dan 20,000 keping topeng muka daripada dua syarikat China - China Construction Bank (Malaysia) Bhd dan Beibu Gulf Holding Malaysia Sdn Bhd - bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam mengekang penularan COVID-19, di Putrajaya hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian. Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Khamis lepas, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya peminjam LPPSA turut ditawarkan moratorium bagi mengurangkan beban penjawat awam.

Kerajaan pada 27 Mac lalu mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN).

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan akan turut berbincang dengan Duta China mengenai usaha untuk mengurangkan impak negatif kepada ekonomi berikutan COVID-19.

“Dari segi ekonomi, sudah tentu semua individu terjejas akibat pandemik ini dan apa yang turut berlaku dalam ekonomi global. Saya berpendapat, apa yang lebih penting adalah untuk memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang stabil untuk menjadikan kita bersedia apabila semuanya semakin pulih.

“Sehubungan itu, saya akan melihat bagaimana perbincangan saya dengan Duta China dan melihat bagaimana kita (Malaysia) sebagai sebuah negara, boleh bekerjasama dalam menghadapi cabaran akan datang khususnya berkenaan COVID-19,” kata beliau.

Sementara itu, Bai Tian berkata China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dari segi ekonomi terutamanya dalam tempoh yang luar biasa ini ketika semua negara terjejas akibat virus itu.

“Setiap negara yang terjejas akibat COVID-19 berjuang dalam dua peringkat. Satu ialah di barisan hadapan untuk menentang penyakit itu, manakala satu lagi ialah di peringkat ekonomi. Ekonomi terjejas dengan ketara, dan tiada siapa yang terlepas daripada impak besar terhadap ekonomi ini,” katanya.

Beliau berkata pada masa yang sama, adalah penting untuk semua negara terutamanya China dan Malaysia untuk berganding bahu bagi menjalinkan kerjasama lebih erat dan mengkaji lebih banyak kaedah mengekalkan dan menghidupkan semula kedua-dua ekonomi secepat mungkin, selain mengurangkan impak negatif akibat COVID-19.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS