mk-logo
Berita
'Abdul Hadi sebagai duta khas bukan lantikan politik'
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 8:58 AM
Dikemaskini: 1:28 AM

Pelantikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri dilihat membuka peluang untuk memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Barat.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor Bernama "menegaskan ia bukan lantikan politik," sebaliknya berkata pelantikan Abdul Hadi itu dibuat bersandarkan kepada ketokohan dan kepimpinan yang ada pada beliau.

Lantikan ini, jelas Tuan Ibrahim berdasarkan latar belakang Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, khususnya dalam bidang syariah dan sains politik.

“Tuan Guru (Abdul Hadi) juga mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara itu...bukan baru, tetapi sudah berpuluh tahun, jadi kerajaan berpendapat beliau orang yang tepat dan mampu menyambung hubungan diplomatik berkenaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Menjelaskan lanjut, Tuan Ibrahim berkata Abdul Hadi mampu menarik peluang pelaburan dari Asia Barat.

“Saya fikir ini antara jalan awal untuk mendapatkan laluan kepada perbincangan di peringkat kerajaan bagi meningkatkan pelaburan dan menarik pelabur dari Timur Tengah ke negara kita.

"Misalnya, jika kita ada masalah melibatkan jualan sawit dan sebagainya, kita cuba untuk mencari pasaran kita di negara berkenaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.


BACA BERKAITAN:

'Tuan Ibrahim kesal atau reda Hadi jadi duta?'

PAS: HARAPAN ikut jejak langkah BN lantik duta khas


Abdul Hadi memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beliau juga pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh ‘The Royal Islamic Strategic Studies’ yang berpusat di Jordan pada 2016.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan, bersetuju melantik Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004, ke jawatan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS