Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jabatan Imigresen Sabah nafi layanan khas ketika PKP
Diterbitkan:  Apr 3, 2020 6:54 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Jabatan Imigresen Malaysia Sabah (JIM Sabah) menafikan dakwaan yang tular di media sosial yang mengatakan tiga penumpang diberi layanan khas untuk  menaiki pesawat menuju ke semenanjung Malaysia melalui Lapangan Terbang Tawau.

Salah seorang penumpang berkenaan mendakwa diberi perlepasan ke Semenanjung menggunakan khidmat “orang dalam” iaitu “bos imigresen” walaupun pada masa perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Pengarah Imigresen negeri Sabah, Muhamad Sade Mohamad Amin berkata dakwaan itu adalah tidak benar kerana berdasarkan peraturan imigresen berkaitan PKP, semua warganegara Malaysia tidak dihalang meninggalkan Sabah.

Beliau berkata, mereka hanya perlu melalui pemeriksaan Imigresen biasa dan tidak perlu mendapatkan kebenaran khas imigresen.

"JIM Sabah telah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa beliau hanya menghubungi pegawai Imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung dan bukannya menggunakan “orang dalam” seperti yang didakwa.

"Beliau telah memohon maaf atas kejadian viral ini kepada jabatan pada jam 11.20 tengah hari ini dan berjanji akan memadam kenyataan bergambar tersebut di media sosial," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak awal pagi ini, tular imej di media sosial apabila seorang pengguna menunjukkan tiket penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur bertarikh 1 April.

Individu itu mendakwa mereka cuba meninggalkan Tawau pada 22 Mac lalu tetapi tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa imigresen.

"So kali ini, kami main orang dalam (Jabatan Imigresen).

"Bos imigresen which is kawan my dad. Alhamdulillah lepas juga kitorang balik KL," tulis kapsyen berkenaan.

Sehubungan itu JIM Sabah, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat kenyataan di media sosial agar tidak menyebarkan berita palsu yang mencemarkan imej jabatan itu.

Mengikut peraturan imigresen berkaitan PKP, semua warganegara Malaysia yang sedang bercuti, belajar atau bekerja dan bertugas rasmi di Sabah atau Sarawak tidak dihalang untuk kembali ke negeri berkenaan dan juga sebaliknya.

Bagaimanapun semua warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sabah perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri kecuali beberapa golongan tertentu termasuk penjawat awam dan pekerja sektor swasta yang menjalankan tugas penting.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS