Jabatan Alam Sekitar (JAS) berjaya mematahkan usaha membawa masuk lima unit kontena yang mengandungi bateri asid plumbum terpakai di Pelabuhan Klang, Selangor pada awal minggu ini.
Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata, kontena tersebut ditahan dalam satu operasi JAS bersama-sama kastam dan Lembaga Pelabuhan Klang dan Westport Sdn Bhd.
Operasi itu dijalankan pada 30 Mac lalu susulan maklumat daripada Kedutaaan Australia di Malaysia, kata kementerian itu.
"Bateri asid plumbum terpakai ini diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai Buangan Terjadual Buangan Bateri Asid Plumbum, kod SW 102, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"Siasatan ke atas penerima (consignee) turut mendapati alamat yang dinyatakan dalam rekod penghantaran adalah palsu.
“Penghantaran kontena ini dilakukan tanpa kelulusan JAS yang bertindak sebagai Pihak Berkuasa Konvensyen Basel bagi Malaysia,” kata kenyataan itu.
Kata kementerian itu lagi, JAS telah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat perkapalan untuk menghantar pulang semua kontena itu ke negara asal iaitu Australia.
Kementerian Alam Sekitar turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama kerajaan Australia - termasuk menerusi maklumat yang diberikan - bagi menggagalkan cubaan membuang buangan berbahaya merentasi sempadan.