Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Himpunan Tabligh di India cetuskan usaha menjejak seluruh negara

Pada satu lewat malam Ahad, pegawai di andhra Pradesh, negeri di selatan India, menerima isyarat. Pihak berkuasa persekutuan berkata mereka perlu mengesan lebih 1,000 orang yang berkaitan dengan himpunan kumpulan Muslim yang besar, hampir 2,000 km dari ibu kota New Delhi.

Pihak berkuasa di Andhra Pradesh, wilayah dengan kira-kira 50 juta penduduk, menggunakan menara telefon, pangkalan data kerajaan dan malah sukarelawan di kampung untuk lima hari seterusnya untuk mencari hampir semua nama di senarai - daripada hadirin sehingga mereka yang menjadi kontak rapat.

Pencarian itu sebahagian daripada usaha mengesan ribuan orang yang berkaitan dengan penularan koronavirus di ibu pejabat kumpulan Tablighi Jamaat, di sebuah sudut yang sesat di New Delhi, yang membawa kepada peningkatan kes di India, negara kedua paling ramai penduduk selepas China.

"Kita sudah hampir kesan semua orang," kata seorang pegawai kesihatan kanan Andhra Pradesh kepada Reuters.

Pihak berkuasa menemui dan menjalankan kuarantin kepada 9,000 orang yang berkaitan dengan ibu pejabat atau menjadi kontak rapat, kata menteri dalam negeri India pada Khamis. Pegawai dari sekurang-kurangnya tiga negeri berkata, mereka mencari ratusan lagi yang mempunyai kaitan dengan bangunan Nizamuddin Markaz itu, yang menjadi hostel dan juga pusat anggota jemaah di seluruh dunia.

Penularan di situ menjadi kluster terbesar yang dilaporkan di India, menurut maklumat jabatan kesihatan negeri dan persekutuan. Ia menjadi cabaran besar buat negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu, di mana kepadatan penduduk dan sistem kesihatan awam yang hanya bersifat asas membawa risiko dalam perlawanan dengan wabak yang telah membunuh puluhan ribu orang di seluruh dunia.

Dengan kebimbangan pihak berkuasa bahawa ia telah menularkan virus di seluruh India, insiden itu mengapikan ketegangan komunal, hanya beberapa minggu selepas kekacauan Hindu-Muslim di ibu kota yang meragut 50 nyawa tahun ini.

Lebih 450 kes dan sekurang-kurangnya lapan kematian telah dikaitkan dengan Tablighi Jamaat setakat ini, menurut maklumat daripada kerajaan negeri.

Ia bersamaan dengan satu perlima daripada lebih 2,000 jangkitan dilaporkan kementerian kesihatan India, yang mengatakan sudah merekodkan 53 kematian. Menurut Reuters, lebih 950,000 jangkitan telah dilaporkan di seluruh dunia.

Kumpulan turut mengadakan himpunan besar pada Februari dan Mac yang membawa kepada penularan di Malaysia dan Pakistan, menurut pegawai di dua negara itu.

Jurucakap Tablighi Jamaat, Mujeeb ur Rehamn, menafikan ibu pejabatnya menjadi punca besar kes koronavirus di India: "India ketika itu sudah pun ada ratusan kes. Maka, tidak betul untuk mengatakan Markaz sebagai punca utama penularan di negara ini."

Keadaan padat

Tablighi Jamaat adalah gerakan dakwah ortodoks Islam dengan anggota di seluruh dunia. Ribuan orang di serata Asia dan negara lain berhimpun di ibu pejabat globalnya di Nizamuddin Barat, satu wilayah padat di New Delhi yang terkenal dengan makam-makam sufi dan kedai kebab.

Bangunan enam tingkat itu memiliki dewan besar, di mana sembahyang dilakukan dan khutbah disampaikan. Pada sebelah malam, ia menjadi tempat tidur buat 200-300 orang di setiap tingkat, kata seorang hadirin dari Bengal Barat, yang menjelaskan dia hadir ke situ dua kali setahun.

Pada 13 Mac, dua minggu selepas kumpulan itu mengadakan himpunan di Malaysia yang kemudiannya menjadi punca ratusan kes di seluruh Asia Tenggara, anggota Tablighi Jamaat berkumpul di New Delhi.

Ia termasuklah hampir 200 peserta dari Indonesia dan Malaysia, menurut dua pemimpin tinggi Tabligh dalam wawancara bersama Reuters.

Ibu pejabat itu lazimnya menjadi tempat tinggal antara 2,000-4,000 orang pada kebanyakan hari, dengan acara dijadual sekurang-kurangnya setahun lebih awal, kata mereka.

"Kita ada sistem yang telus dan menghormati undang-undang negara," kata salah seorang pemimpin itu.

Pada 16 Mac, Ketua Menteri New Delhi Arvind Kejriwal mengumumkan larangan terhadap perhimpunan lebih 50 orang - kecuali majlis perkahwinan - dalam usaha untuk membendung wabak.

Tetapi pemimpin Tablighi berkata ibu pejabatnya kekal dibuka untuk beberapa hari sehinggalah Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung sehari pada 22 Mac.

Perintah berkurung seluruh New Delhi bermula pada 23 Mac, diikuti dengan perintah sama di seluruh negara bermula 25 Mac.

Kumpulan itu berkata, pihaknya boleh memindah keluar kira-kira 1,500 orang sebelum penguatkuasaan perintah berkurung seluruh negara, tetapi ratusan lagi masih ada di dalam. "Selepas perintah berkurung diumumkan, mustahil untuk terus melaksanakan pengosongan Markaz," kata salah seorang pemimpinnya.

Mujeeb ur Rehman mengesahkan bahawa satu persidangan diadakan antara 13 hingga 15 Mac. Dia berkata kebanyakan peserta dari luar negara telah tiba beberapa minggu sebelumnya.

Pencarian besar-besaran

Pegawai India mula bimbang dengan Nizamuddin Markaz sekitara 18 Mac, selepas warga Indonesia yang berkaitan dengan kumpulan itu didapati positif Covid-19 di Telangana, sebuah negeri di selatan, kata seorang sumber kerajaan dan sepucuk surat Kementerian Dalam Negeri bertarikh 28 Mac yang dilihat Reuters.

Sehingga 21 Mac, Kementerian Dalam Negeri India menghantar maklumat berkenaan anggota kumpulan itu - warga tempatan dan juga dari luar negara - ke semua kerajaan negeri untuk menjalankan langkah mengesan dan pemeriksaan, kata kementerian itu dalam kenyataan.

Pada masa itu, pegawai menganggarkan ibu pejabat Jamaat Tablighi menempatkan kira-kira 1,750 orang, termasuk 216 warga asing, kata kementerian itu dalam kenyataan. Selain itu, 2,100 anggota warga tempatan dan 800 lagi dari negara lain tersebar di seluruh negara itu.

Kira-kira 370 orang anggota bergerak dari ibu pejabat ke Andhra Pradesh, menurut nota kerajaan negeri yang dilihat Reuters.

Bagi mencari mereka dan orang yang menjadi kontak rapat dengan mereka - 1,000 orang secara keseluruhan - pihak berkuasa membuat carian nama di pelbagai pangkalan data, termasuk senarai pembayar cukai untuk mendapatkan alamat, kata seorang pegawai kesihatan kanan.

Kemudian, polis, pegawai perbandaran, dan sukarelawan di kampung membantu untuk mengesan mereka, katanya lagi. Kira-kira 1,500 orang terlibat dalam keseluruhan proses itu.

Nota kerajaan yang dirangka pada 31 Mac berkata pihak berkuasa negeri dengan bantuan pegawai kesihatan, polis dan kereta api India, telah berjaya mengesan 1,321 orang.

Di Maharashtra, negeri di barat India, polis dan pegawai jabatan kesihatan menggunakan nombor telefon untuk mencari kira-kira 1,400 hadirin Jamaat Tablighi, kata seorang pegawai jabatan kesihatan kanan. Menurut Menteri Kesihatan Maharashtra Rajesh Tope, setakat ini 1,300 orang telah ditemui.

Ketegangan komunal

Awal minggu ini, pegawai kesihatan mula mengalihkan orang daripada ibu pejabat Jamaat Tablighi dan membawa mereka ke tempat kuarantin. Dengan kawalan polis paramilitari, ada anggota yang memegang erat tasbih ketika masuk ke dalam bas. Menteri Kesihatan New Delhi Satyendra Jain berkata, pihak berkuasa telah memindahkan 2,335 orang.

Tetapi kes yang memiliki kaitan dengan Nizamuddin Markaz telah pun dilaporkan di tempat sejauh Kashmir, Pulau Nicobar dan Andaman di sebelah timur sehingga ke Assam, sebuah negeri jauh di timur laut, menurut maklumat awam dan wawancara dengan pegawai tempatan.

Di Kashmir, seorang hadirin sidang yang kembali dari New Delhi pada 16 Mac, meninggal dunia sepuluh hari kemudian. Menurut pegawai tempatan, ia merupakan kematian pertama melibatkan hadirin acara itu.

Pihak berkuasa di Kashmir kini memantau lebih 2,000 orang yang mungkin menjadi kontak kepada mereka yang disahkan positif selepas ke Markaz, kata pegawai.

Di Tamil Nadu, sebuah negeri di selatan, 263 orang - atau kira-kira 85 peratus daripada kes koronavirus yang direkodkan di sana - adalah mereka yang ke Markaz, kata pegaai pada Khamis.

Kes itu juga membuka semula garis pemisah di India, beberapa bulan selepas pertembungan Hindu-Muslim di ibu kota, yang paling teruk dalam beberapa dekad ini.

Pada Rabu, Vishva Hindu Parishad, sebuah kumpulan Hindu garis keras yang dikaitkan dengan parti Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP), menggesa tindakan lebih tegas terhadap Tablighi Jamaat. Mereka menyifatkan pangkalan Tabligh di New Delhi sebagai "pusat kepada gempa Covid-19 di India." Kandungan anti-Muslim dan "#CoronaJihad" pula mula trending di media sosial di india.

Di Sarai Kale Khan, kawasan kejiranan dengan penduduk pelbagai agama bersebelahan Nizamuddin, sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu telah mula menutup laluan masuk ke sana.

"Kami akan kekal di sini sehingga kerajaan memberitahu kami keadaan selamat," kata salah seorang daripada mereka, Ayush Vashista. "Sebelum ini ada banyak perhubungan. Sekarang tiada siapa boleh masuk."

-Reuters


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS