Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan akan menangguhkan sementara semua perkhidmatan rel sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Penggantungan itu bermula pada esok, Sabtu, 4 April, selepas penurunan jumlah pengguna harian yang mendadak.

“Pandemik Covid-19 telah menjejaskan sepenuhnya industri penerbangan dan menutup hampir semua perhidmatan dan pejabat.

“Ini menyebabkan tiada pengguna industri penerbangan dan bilangan pengguna terhad menggunakan perkhidmatan ERL.

“Bilangan pengguna untuk KLIA Ekspres menurun mendadak, terutamanya dalam masa lapan hari lalu,” kata ERL dalam sebuah kenyataan hari ini.

ERL turut menambah, untuk memastikan ERL mampu menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan selepas tempoh PKP tamat, syarikat tersebut telah mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa yang berkaitan dan membuat keputusan untuk menjalankan penggantungan tersebut buat sementara waktu.

“Penggantungan sementara perkhidmatan ERL di Kuala Lumpur adalah bayangan beberapa situasi yang buruk di banyak negara,” tambahnya.

Antara perkhidmatan rel dan udara yang telah menjalankan penggantungan perkhidmatan adalah City Airport Train in Vienna, Rhonexpress di Lyon, Gatwick Express in London dan Airport Express Line di New Delhi.

ERL memohon maaf kepada kesulitan yang timbul dan menasihatkan pengguna untuk mencari alternatif pengangkutan yang lain.

Pengguna boleh mendapatkan bayaran balik untuk tiket yang belum digunakan melalui pejabat perkhidmatan pelanggan ERL.

Pejabat itu boleh dihubungi di nombor 03-2267 8000 (8.30 pagi hingga 6 petang), melalui laman sesawang www.KLIAekspres.com atau laman Facebook KLIA ekspress.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS