Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemulihan ekonomi negara kini kian sukar dan berliku'

KATA MP | Mengambil alih kerajaan seperti yang dilakukan oleh GPB (geng pintu belakang) atau GTA (gomen tebuk atap) - bagi kebanyakan orang yang rasional dan boleh fikir dengan waras - amat sukar dimaafkan.

Ada beberapa alasan mengapa itu begitu. Antaranya ialah seperti berikut.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pemerintahan daripada BN adalah melalui jalan yang sah, demokratik dan halal. Ia kemudian terpaksa bertungkus-lumus mahu baiki kerosakan yang amat teruk selepas ditinggalkan rejim kleptokrat diketuai "Bossku".

Paling teruk terjejas ialah ekonomi negara. Mata wang jatuh merudum, rezab negara menguncup, pelaburan merosot, pelaburan langsung asing (FDI) tergugat, imej dan kredibiliti negara tercalar teruk akibat rasuah, dan kleptokrasi berskala mega.

Semua ini sekali gus menjejaskan pelaburan asing dan kebolehpercayaan untuk dapatkan pinjaman. Misalnya soft loan.

Alhamdulillah, hasil kerja keras dan kuat kerajaan PH di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya, saya berani katakan, pemulihan ekonomi negara insya-Allah berada pada landasanyang betul waktu itu.

Malahan ramai pakar ekonomi juga sependapat begitu. Kedudukan negara dalam beberapa ranking dunia mula menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Tak mahu pekerja susah

Ekonomi negara mula menunjukkan tanda-tanda positif pemulihan. Setidak-tidaknya imej negara - daripada sebuah kerajaan kleptokrat - sudah beransur-ansur hilang.

Perdana menteri ketika itu amat berpengalaman dan beliau selalu memberi peringatan kepad kami tentang betapa pentingnya imej negara perlu dipulihkan.

Tiba-tiba Allah uji lagi PH dan negara dengan datangnya virus Covid-19.

Dalam mesyuarat pascakabinet Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan sendiri oleh Mahathir ketika itu (yang saya hadiri sendiri), hampir setiap minggu, saya nampak beliau amat-amat prihatin terhadap isu pemulihan ekonomi dan cara untuk menangani wabak Covid-19.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selalu memberikan maklumat terkini. Saya arif sangat perdana menteri ketika itu amat mengambil berat jika ada rakyat yang susah, hilang kerja dan seumpamnya.

Sebagai contoh, saya masih ingat ketika timbul isu pekerja kontrak yang telah ditamatkan kontraknya.

Kata Mahathir, beliau ada meerima aduan dan meminta KSU (ketua setiausaha) memberi penjelasan.

Menurut KSU, kerajaan sudah melanjutkan kontrak mereka yang terbabit beberapa kali.

"Sepatutnya kita tak boleh melanjutkan lagi kontrak mereka," kata KSU berkenaan.

Menurut perdana menteri - saya duduk betul-betul di sebelah beliau ketika itu - pekerja terbabit perlu dibantu.

"Kita kena lanjutkan lagi kontrak mereka, kita tak mahu depa susah dan tak ada kerja atau pendapatan," kata perdana menteri. Dan KSU akur.

Pada masa itu, kami semua tidak sempat terfikir ada pihak yang sibuk dengan urusan lain rupanya. Pada waktu kami semua sibuk menguruskan negara dan mencari jalan nak membantu rakyat.

Negara dan ekonomi yang hampir pulih, kina tiba-tiba macam nak kembali ke era sebelum PH mengambil alih Putrajaya.

Dulu imej negara kita ialah negara kleptorat yang keparat. Sekarang ada bermacam-macan imej sedang kita koleksikan, termasuk imej negara kartun Doeramon.

Lalu? Maknanya usaha untuk memulihkan ekonomi mungkin bertambah sukar dan berliku apabila imej negara tidak baik.


HANIPA MAIDIN ialah ahli parlimen Sepang dan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS