Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki ingkar PKP dipenjara empat hari
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Seorang lelaki dihukum penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret di Tawau hari ini selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ali, 19, dan memerintahkannya menjalani hukuman dari tarikh dia ditahan pada 29 Mac lepas. Tertuduh bebas hari ini.

Mohd didakwa keluar daripada rumahnya di Batu 4, Jalan Apas, di Tawau pada 8.45 malam dalam tempoh PKP mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Terdahulu, tertuduh memberitahu mahkamah dia keluar rumah mencari besi buruk untuk dijual bagi membeli makanan.

Dzul Elmy menasihati Mohd supaya mematuhi PKP dan berada di rumah.

“Saya tahu keperluan orang ramai untuk mencari duit apa tah lagi dalam keadaan yang sukar ketika ini, namun kamu perlu tahu jika dapat besi buruk pun, tiada orang akan membeli memandangkan PKP sedang dilaksanakan,” katanya dan menasihati tertuduh agar memohon bantuan daripada Ketua Kampung atau Ahli Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan barangan keperluan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS