Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KORONAVIRUS l Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah mencadangkan kepada rakyat negeri itu yang majoritinya gemarkan beras Siam supaya beralih kepada beras tempatan.

Katanya, mereka perlu menyesuaikan diri dengan situasi semasa, khususnya ketika pelaksanaan perintahan kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan bekalan beras Siam berkurangan dan harganya meningkat.

"Kalau nak makan beras Siam, itu di luar kemampuan kerajaanlah. Saya rasa elok kita sesuaikan diri dengan suasana (semasa), kena belajarlah (makan beras tempatan).

"Jika ada yang menjual beras Siam dengan harga mahal sekalipun, itu masalah penjual, bukan kerajaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai kekurangan bekalan beras Siam dalam pasaran di Kelantan dan harga beras yang diseludup dari negara jiran itu mengalami kenaikan harga yang mendadak.

Malaysiakini semalam melaporkan beras Siam di pasaran negeri itu mengalami kenaikan harga yang mendadak sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac  lalu.

Sementara itu Mohd Amar berkata, berdasarkan mesyuarat jawatankuasa keselamatan negeri sebelum ini, beliau dimaklumkan bekalan beras mencukupi sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April ini.

Malah katanya, bagi memastikan bekalan beras mencukupi, kerajaan negeri membuat peraturan iaitu tidak membenarkan pembelian secara pukal.

"Pembelian perlu dibuat mengikut keperluan dan arahan itu turut dikeluarkan kepada peruncit supaya tidak menjual melebihi had yang sepatutnya kepada pembeli.

"Sekiranya orang ramai membeli pada kadar yang diperlukan, bekalan beras memang mencukupi.

"Jika ada individu atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membeli secara pukal untuk diagihkan kepada golongan sasar, mereka perlu berhubung dengan pembekal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS