Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Presiden Filipina arah polis, tentera tembak pengingkar kuarantin
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 12:34 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

GLOBAL | Ketika angka kematian akibat Covid semakin menghampiri 100 orang, pemimpin Filipina mengeluarkan amaran keras buat penduduk negara itu hari ini.

Menurut presidennya, Rodrigo Duterte, sesiapa yang ingkar terhadap arahan pihak berkuasa atau menyusahkan kakitangan kesihatan, mereka boleh ditembak.

Katanya perbuatan sedemikian adalah jenayah yang serius dan tidak boleh dibiarkan.

“Keadaan semakin buruk. Sekali lagi saya maklumkan kepada kamu betapa seriusnya masalah ini dan kamu mesti dengar.

“Arahan saya kepada polis dan tentera... kalau ada masalah - dan sesekali mereka akan melawan balik dan nyawa anggota keselamatan dalam bahaya - tembak mereka sampai mati.

"Adakah kamu faham? Mati. Daripada menyusahkan, biar saya tanam kamu," katanya seperti dipetik Reuters hari ini.

Dia bercakap demikian dalam ucapan ke seluruh negara lewat malam tadi.

Duterte memang dikenali sebagai pemimpin yang keras dan sebelum ini sudah selalu dipertikaikan kerana pendekatannya menangani isu pengedaran darah.

Covid-19 sudah membunuh 96 orang manakala 2,311 kes positif direkodkan di seluruh Filipina sejak tiga minggu lalu. Kadar jangkitan yang dilaporkan setiap hari pula mencecah ratusan orang.

Menurut Duterte, penting untuk semua orang bekerjasama dan mematuhi perintah kuarantin yang dikuatkuasakan kerajaan.

Terdahulu media melaporkan sejumlah penduduk di kawasan setinggan di Manila mengadakan bantahan kerana tidak mendapat bantuan makanan yang mencukupi daripada kerajaan.

Beberapa kejadian kekecohan juga dilaporkan.

Petugas kesihatan Filipina juga berdepan dengan penderaan fizikal dan diskriminasi - hal yang ditegaskan oleh Duterte mesti dihentikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS