Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Tak perlu bimbang tentang kajian kucing dan Covid-19
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 10:52 AM
Dikemaskini: 6:30 AM


  • Tajuk dan pembukaan berita ini dikemas kini supaya supaya memberikan gambaran lebih jelas kepada pembaca.

Orang ramai tidak perlu bimbang berkaitan kajian yang mendakwa kucing boleh dijangkiti penyakit Covid-19 dan boleh menyebarkan penyakit itu kepada kucing yang lain, kata Ahli virologi dari Universiti Ohio State Amerika Syarikat Linda Saif.

Ini memandangkan ujian itu melibatkan kucing disuntik dengan dos virus yang tinggi, dan tidak menggambarkan interaksi sebenar antara manusia dan kucing peliharaan, lapor portal berita Nature.

Sedangkan katanya, tiada bukti langsung menunjukkan kucing yang dijangkiti membawa virus yang cukup untuk menjangkiti manusia.

Dia memberi maklum balas terhadap laporan terdahulu oleh sepasukan pengkaji di Institut Kajian Veterinar Harbin dan Makmal Pembendungan Tinggi Kebangsaan China terhadap Kawalan dan Pencegahan Penyakit Haiwan, pada Selasa.

Dalam eksperimen yang dilaporkan, terdapat kucing sihat yang turut dijangkiti apabila dikurung selama beberapa hari bersama kucing-kucing yang membawa virus itu.

“Kami dapati SARS-CoV-2 (nama virus yang menyebabkan penyakit Covid-19) membiak dengan lemah pada anjing, babi, ayam, dan itik, tapi giat sekali pada feret dan kucing.

“Kami dapati virus itu tersebar di kalangan kucing melalui titisan pernafasan,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, Saif menyatakan bahawa tiada kucing yang menunjukkan gejala, dan hanya seekor daripada tiga ekor kucing dijangkiti apabila didedahkan dengan kucing yang membawa penyakit.

“Ini menunjukkan virus itu mungkin tidak mempunyai tahap kebolehsebaran yang tinggi pada kucing,” katanya lagi.

Laporan Nature itu turut memetik pakar epidemiologi dari City University of Hong Kong, Dirk Pfeiffer yang berkata laporan itu menunjukkan kucing bukanlah faktor utama penyebaran penyakit, dan usaha membendung Covid-19 haruslah ditumpukan terhadap mengurangkan penyebaran manusia ke manusia.

Bagi anjing pula, pengkaji di Harbin melaporkan bahawa daripada lima anjing yang diinokulasi (divaksin), dua didapati mempunyai RNA virus pada najis mereka tetapi tiada partikel virus berjangkit dikesan.

Sebelum ini, terdapat kes di mana dua anjing peliharaan dilaporkan positif Covid-19 di Hong Kong, tanpa menunjukkan gejala, dan terdapat juga kes seekor kucing peliharaan dilaporkan positif di Belgium.

Kucing itu menunjukkan simptom seperti cirit-birit, muntah, dan kesukaran bernafas seminggu selepas tuannya dijangkiti virus itu.

Pun begitu, salah seekor daripada anjing itu mati atas sebab tidak diketahui, tidak lama selepas dibebaskan daripada kuarantin.

Sebelum ini, analisis protein terlibat dalam jangkitan Covid-19 meramalkan bahawa virus itu boleh “melekat” pada sebahagian sel babi, feret, kucing, orang utan, monyet dan manusia dengan “kecekapan yang sama” (similar efficiencies).

“Pelekatan” itu merupakan langkah utama dalam penyebaran jangkitan virus.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS