TINJAUAN | Beras keluaran Thailand yang diseludup ke Kelantan kini dijual dengan harga lebih tinggi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Ia susulan bekalan beras itu sukar diperoleh selepas penguatkuasaan dan kawalan sempadan Malaysia-Thailand melalui pangkalan haram di Rantau Panjang-Golok yang diperketatkan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.
Sebagai rekod, kebiasaannya beras Siam menjadi pilihan rakyat Kelantan secara berleluasa kerana harga yang berpatutan dan berkualiti tinggi serta mudah diperoleh dalam pasaran tempatan.
Tinjauan Malaysiakini mendapati rata-rata pengguna merungut susulan kenaikan harga secara mendadak.
Kebiasaannya harga beras Siam seludup itu, bagi setiap kampit lima kilogram dijual antara RM11 hingga RM15 bergantung kepada jenama dan gred.
Namun, sejak pelaksanaan PKP ini harganya meningkat kepada RM20 hingga RM28 bagi setiap kampit lima kilogram.
Antara jenama yang berada di pasaran negeri ini seperti cap mangga, pisang, basikal, dan serindit.
Selain itu, pemerhatian di kedai-kedai runcit juga mendapati stok beras Siam itu sukar diperoleh.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Che Mat, 56, berkata, bekalan beras itu kini sukar diperoleh daripada pembekal menyebabkan harga meningkat secara mendadak.
"Kita peniaga pun pening. Sampai saya terpaksa hentikan penjualan beras Siam. Kasihan pada orang ramai.
"Jadi saya jual harga beras tempatan sahaja buat masa sekarang.
"Keadaan ini kali pertama berlaku, sebelum ini kalau ada kenaikan pun masa musim perayaan. Tetapi tidak terlalu tinggi," katanya.
Jualan atas talian
Sementara itu, tinjauan juga mendapati modus operandi peniaga beras Siam kini beralih kepada jualan atas talian termasuk melalui media sosial.
Semakan di Facebook mendapat banyak iklan-iklan beras Siam disiarkan dengan pelbagai tawaran harga termasuk perkhidmatan penghantaran ke rumah.
Sementara itu seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Idris, 32, berkata, harga beras Siam sepanjang tempoh PKP ini kerana stok berkurang.
Katanya, ia disebabkan kesukaran untuk pembekal membawa masuk ke pasaran di Kelantan susulan kawalan ketat oleh pihak berkuasa.
"Sebenarnya sekatan jalan raya dan penutupan (kawalan) di sempadan ini menyebabkan bekalan terputus.
"Permintaan di Kelantan ini tinggi sebab kebanyakan rakyat Kelantan mengguna beras Siam.
"Kesempatan ini juga diambil oleh peniaga untuk menaikan harga. Macam saya cuma jual secara sambilan, bantu kawan-kawan dan sanak-saudara untuk dapatkan bekalan," jelasnya ketika dihubungi.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.