Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat kuarantin perlu dalam keadaan boleh dihuni - Noor Hisham
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 8:43 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua pusat kuarantin yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan pesakit Covid-19 dan individu yang pulang dari luar negara perlulah dalah keadaan "boleh dihuni".

Mengulas mengenai isu pusat kuarantin di Sabah yang dikatakan dalam keadaan kotor, beliau berkata Kementerian Kesihatan tidak akan mencadangkan kemudahan sedemikian untuk digunakan.

"Kemudahan (untuk digunakan sebagai pusat kuarantin) dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma).

"Pada mulanya, mereka mengambil semua kemudahan yang ada, jadi mereka perlu memastikan yang mana yang boleh didiami.

"(Kemudahan) yang tidak boleh ditempati, kami juga tidak akan mengesyorkan ia digunakan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, beberapa gambar dan klip video pusat kuarantin di Penampang, Sabah, yang dikhaskan untuk individu yang pulang dari luar negara tular di media sosial.

Gambar-gambar berkenaan menunjukkan tahap kebersihan yang teruk, termasuk tandas yang kotor.

Berikutan itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon mengakui bahawa kemudahan asas di sesetengah pusat kuarantin di negeri itu tidak mencapai piawai.

Poon memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan negeri sedang membaik pulih kemudahan asas, membersihkan dan juga berusaha untuk menyediakan WiFi serta meningkatkan kualiti makanan, selain menyediakan cerek air untuk mereka yang menjalani kuarantin.

Kerajaan negeri juga menyediakan pilihan bagi mereka yang ingin menjalani kuarantin selama 14 hari di tiga hotel di Kota Kinabalu, dengan kos akan ditanggung sendiri oleh pihak yang menjalani kuarantin.

Di bawah ketetapan baru kerajaan, semua individu yang pulang dari luar negara dan tiba di negara ini mulai 3 April perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan yang disediakan kerajaan.

Sementara itu, ditanya sama ada perintah kuarantin turut dikenakan ke atas kru penerbangan dan juruterbang, Noor Hisham berkata mereka sedang meneliti perkara itu.

Beliau berkata kebimbangan utama pihaknya adakah individu yang pulang dari luar negara kemungkinan terdedah kepada Covid-19.

"Ketakutan kita adalah mereka yang terdedah. Kru tidak, tetapi jika mereka pun dijangkiti, kita akan melihat perkara itu.

"Setakat ini perintah kuarantin adalah untuk mereka yang pulang dari luar negara dan mungkin terdedah," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS