Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor potong 50 peratus gaji sebulan MB, exco

Kerajaan Selangor hari ini bersetuju untuk memotong 50 peratus daripada sebulan gaji menteri besar, exco serta 30 peratus sebulan gaji semua 56 Adun, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari.

Potongan berkenaan, katanya akan disalurkan kepada Tabung Khas Bantuan Covid-19 Selangor.

"Satu tabung khas akan didirikan, bermula dengan potongan gaji menteri besar, exco, Adun serta anak-anak syarikat kerajaan negeri yang dijangka jumlah RM8.07 juta

"Selain itu, pegawai kerajaan negeri berpangkat JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) C dan ke atas dan jawatan tinggi di GLC kerajaan negeri dipotong gaji 30 peratus. Manakala, penjawat awam Ged 44 hingga Gred 54 digalakkan untuk memberi sumbangan RM50 hingga RM100.

"Setakat ini sebanyak RM250 ribu dikutip dan dianggarkan sebanyak RM500 ribu mampu dikutip menerusi potongan gaji yang akan digunakan kepada anak-anak petugas barisan hadapan di Selangor," katanya dalam sidang media mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di Kediaman Rasmi Shah Alam, Selangor, hari ini.

Terdahulu, Amiruddin mengumumkan sebanyak RM272.5 juta tambahan dalam pakej Fasa Kedua susulan Pakej Prihatin Fasa Pertama berjumlah RM 127.8 juta yang diumumkan pada 20 Mac lalu.

"Ini bermaksud kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM 400 juta untuk kedua-dua pakej ransangan Ekonomi.

“Insya-Allah, saya optimistik, Selangor dan Malaysia akan berjaya. Kita akan berjaya mengharungi cabaran-cabaran ini sebagaimana kita berjaya melepasi tantangantantangan sebelum ini," katanya.

Antara inisiatif yang diumumkan dalam pakej kedua itu adalah:

• Ujian saringan di kawasan titik panas dengan sasaran 5000 orang melibatkan RM1.35 juta.

• RM1.344 juta untuk bantuan makanan percuma kepada doktor dan jururawat dan petugas di hospital-hospital negeri Selangor sepanjang tempoh PKP.

• Insentif penjagaan anak-anak barisan hadapan kepada 2,500 keluarga dengan jumlah sebanyak RM1.5 juta.

• Makanan percuma kepada barisan hadapan media, akhbar dan petugas keselamatan melibatkan RM100,000

• RM50,000 untuk Task Force Covid-19 Negeri Selangor

• RM2 juta untuk pelindung hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan kepada rakyat Selangor

• RM3 juta untuk operasi stesen kuarantin Negeri Selangor yang beroperasi untuk petempatan Person Under Surveillance bagi kluster tabligh dan ketibaan dari luar negara.

Sementara itu, Amiruddin juga mengumumkan bahawa setiap rakyat Selangor yang positif Covid-19 akan menerima bantuan sebanyak RM1,000.

"Kerajaan negeri juga amat prihatin dengan pesakit yang positif covid-19. Untuk tujuan ini sebanyak RM1000 akan diberikan kepada mereka yang terkena virus ini,” katanya.

Beliau juga mengumumkan RM1 juta akan dibelanjakan untuk perkhidmatan kaunseling dan pakar untuk kesihatan mental melalui kelas interaktif kepada anak Selangor yang menghadapi masalah kesihatan akibat PKP.

Selain itu, Amiruddin berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman secara automatik bagi peminjam mahasiswa kerajaan negeri bermula 1 April hingga 30 September.

Katanya, peruntukkan RM6.07 juta itu termasuk bantuan makanan secara percuma kepada semua mahasiswa kerajaan negeri melalui pihak universiti.

Tambahnya, kerajaan negeri mengumumkan dana RM500,000 kepada 5,000 petani dan nelayan bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan.

"Seramai 2,000 petani, penternak dan nelayan akan dibantu dari segi input benih, ternakan, peralatan serta bahan mentah dengan peruntukan RM1 juta," katanya.

"Selangor Agro Market yang telah saya umumkan pada minggu lalu bertujuan menyediakan bekalan makanan yang segar pada harga yang lebih kepada membantu 300,000 penduduk di Selangor dengan peruntukan RM1 juta," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS