Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indonesia rayu umat Islam percepat bayar zakat
Diterbitkan:  Apr 1, 2020 1:37 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

KORONAVIRUS l Naib Presiden Indonesia, Ma'ruf Amin merayu kepada umat Islam di negara itu untuk segera membayar zakat bagi membantu mereka yang memerlukan ketika pandemik Covid-19 ini.

Katanya, melihat keadaan di Indonesia sekarang, ia waktu sesuai untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu supaya dapat diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

“Pada waktu ini, mereka yang kaya amat sesuai mengeluarkan zakat yang biasa dilakukan bulan Ramadan kerana rakyat benar-benar memerlukannya,” katanya seperti dipetik Tempo.co.

Semalam, Presiden Indonesia Joko Widodo menisytiharkan darurat kesihatan awam susulan penularan koronavirus yang melanda negara itu dan mengumumkan langkah-langkah untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah.

Ia termasuk memperluaskan kebajikan sosial, bantuan makanan dan memberi diskaun tarif elektrik serta pengecualian bayaran.

Ma'ruf turut meminta badan zakat untuk mempersiap pengumpulan zakat dari masyarakat dan segera mengagihkannya kepada penduduk.

Ma'ruf juga menggalakkan rakyat untuk bersedekah. Dalam Islam, katanya, mereka yang mempunyai kelebihan harta boleh berkongsi dengan orang lain.

Setakat semalam, Indonesia mencatatkan 1528 kes positif Covid-19 dengan 136 kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS