Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahun Baru Tamil, Vishu, Vaisakhi disambut di rumah sahaja

Masyarakat Tamil, Malayalee dan Sikh di Malaysia bakal menyambut perayaan utama masing-masing pada 14 Apri, pada kali ini, sambutan diraikan secara kecil-kecilan di rumah sahaja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Perayaan berkenaan adalah sambutan Tahun Baharu iaitu Chittirai Puttandu bagi kaum Tamil; Vishu bagi kaum Malayalee dan Vaisakhi bagi kaum Sikh, yang semunya jatuh pada tarikh sama tahun ini.

Perayaan berkenaan pada kebiasaannya disambut meriah secara besar-besaran di seluruh negara bagi meraikan bermulanya tahun baharu dalam kalangan masyarakat India saban tahun.

Setakat diketahui, ini merupakan kali pertama ketiga-tiga perayaan disambut secara kecil-kecilan di rumah sahaja bagi ketiga-tiga kaum ini berikutan tempoh PKP akan hanya berakhir pada 14 April, dan mungkin dilanjutkan lagi bergantung pada sejauh mana kejayaan dalam memecahkan rantaian jangkitan Covid-19.

Presiden Hindu Sangam Malaysia Datuk RS Mohan Shan menasihatkan masyarakat Tamil untuk meraikan Chittirai Puthandu di rumah bersama-sama orang tersayang.

"Tahun ini, tahun baharu bermula pada 10.04 malam, 13 April tetapi upacara keagamaan hanya dilakukan esok harinya.

“Upacara keagamaan boleh diadakan di rumah (pada 14 April) disebabkan PKP. Anda tidak perlu pergi ke kuil," katanya semasa dihubungi Bernama.

Kehadiran bulan Tamil Chittirai disambut setiap tahun pada hari pertama dalam kalendar matahari Tamil, pada tahun ini dikenali sebagai Tahun Sarvari.

Presiden Hindhudhrama Maamandram Malaysia Sri Radhakrishan Alagamalai yang turut mempunyai pandangan yang sama, berkata cara terbaik untuk menyambut perayaan dalam tempoh PKP adalah dengan mengadakan sambutan ringkas tetapi selaras dengan adat dan budaya Tamil.

“Tuhan memberi masa kepada kita semua untuk menyambutnya bersama-sama keluarga kita. Gunakan masa ini dengan bijak untuk meraikan sambutan ini bersama-sama dengan keluarga (masing-masing) tanpa perlu keluar rumah. Masak masakan vegetarian tradisional dan nikmatinya bersama-sama ahli keluarga di rumah,” katanya kepada Bernama.

Presiden Persatuan Kebudayaan & Tradisional Hindu Malayalee Malaysia, Dr N R Nambiar, menasihatkan masyarakat Malayalee di negara ini untuk memberi penekanan pada kesederhanaan dalam meraikan Vishu.

Vishu disambut pada hari pertama dalam Zodiak Tahun Baharu, hari pertama pada bulan dipanggil Medam, menurut panjangam (almanak) rasmi Sri Guruvayoorappan Devaswom Kerala; Kerala Mathrubumi Panjangam; Kerala Valya Panjangam dan Kerala Manorama Panjangam.

Kaum Malayalee percaya tahun baharu akan menjadi lebih baik sekiranya seseorang itu memulakan sambutan Vishu dengan sesuatu yang baik dan mengembirakan.

“Mereka boleh membuat persiapan bagi Vishukkani, yang membabitkan pelbagai barangan yang membawa tuah, dengan hanya pisang, daun sirih, Tulasi (daun selasih suci), Konnapoo (bunga cassia fistula), ayat suci Hindu, duit, bijirin, beras dan gambar Dewa Krishna.

“Bagi Vishukkani (dulang pelbagai barangan), yang biasanya disediakan oleh wanita paling tua dalam keluarga, mereka boleh menggunakan bunga-bungaan dari taman dan bukannya membeli bunga tertentu dari kedai bunga. Sambutan boleh berbentuk aktiviti sosial sesama ahli keluarga di rumah,” katanya.

Beliau berkata sambutan secara kecil-kecilan sesama ahli kleuarga dengan menyediakan makanan tradisional yang minimum dan mengadakan upacara keagamaan sudah amat bermakna, khususnya dalam tempoh PKP.

Nambiar juga menggesa masyarakat Malayalee Malaysia untuk mendoakan agar Malaysia dan dunia bebas daripada pandemik Covid-19.

Bekas Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia (SNSM) Pavandeep Singh berkata bagi sambutan Vaisakhi tahun ini, Tahun Baharu masyarakat Punjabi dan Sikh yang juga merupakan festival menuai musim bunga, akan disambut secara elektronik - e-Vaisakhi - dengan masyarakat itu boleh terus menikmati keindahan kirtan (nyanyian lagu keagamaan) oleh kumpulan terkenal ragi jathas (kumpulan nyanyian lagu keagamaan).

Beliau berkata NGO SIKHinside sudah memulakan penstriman Satsang atau wacana kerohanian menerusi Facebook SIKHinside berikutan masyarakat Sikh tidak boleh berhimpun di Gurdwara untuk melakukan aktiviti itu dalam tempoh PKP.

"Sambutan Vaisakhi pada tahun ini adalah istimewa kerana ia memberi peluang kepada kami untuk menyambutnya dalam suasana lebih mesra dan rapat dengan orang tersayang kami. Hadapinya secara positif, gesaan untuk duduk di rumah masing-masing bukan bermakna kita tidak boleh meraikan sambutan ini dengan gembira.

"Buat kuih-muih dan semua juadah kegemaran yang lain dan manfaatkan media sosial untuk berhubung dengan ahli keluarga dan sahabat handai," katanya.

Satsang secara maya bermula 23 Mac dan berterusan sehingga 14 April. Akhand Path, iaitu bacaan tanpa henti kitab keagamaan Sri Guru Granth Sahib Ji, juga akan dibuat penstriman secara langsung dari 8 pagi, 12 April sehingga 8.30 pagi, 14 April.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS