Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantuan Prihatin Nasional - nyawa buat peniaga kecil

ULASAN | Bermacam-macam teori keluar berkaitan dengan Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1,600 untuk keluarga B40 serta RM1,000 untuk keluarga M40, ramai mempertikaikan dari segi jumlah, ramai juga yang mempertikaikan dari segi tarikh bayaran dan ada juga yang mempertikaikan berapa lama bantuan itu boleh bertahan,

Selepas Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dimansuhkan dan diganti dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan jumlah yang dikurangkan, saya yang merupakan penyelidik di Consent Malaysia telah membuat kajian menyeluruh berkaitan kesan BR1M dan BSH kepada para peniaga-peniaga kecil di sebuah kawasan parlimen selama setahun.

Dengan bermodalkan bantuan modal Consent Malaysia bagi mengandaikan bahawa bantuan sebanyak RM2,000 itu diberikan kepada golongan B40 terutama golongan peniaga kecil macam Mak Cik Kiah yang digambarkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dijangka akan mendapat bantuan keseluruhan RM7,864 termasuk penjimatan.

Selama setahun, bantuan pertama yang diterima adalah RM800, dengan bantuan itu saya membeli barang-barang keperluan untuk tempoh tiga bulan bagi memulakan perniagaan nasi lemak (ya perniagaan nasi lemak sahaja + air percuma dengan harga jualan RM5 satu pinggan) , modal harian yang telah ditetapkan adalah RM70, ini termasuklah ayam empat kilo yang dipotong 12 seekor (48 ketul=RM36) telur satu sarang (RM10) bahan untuk sambal (RM10) dan timun dan sayur kangkung (RM5) dan modal air percuma ( RM9 iaitu teh, gula dan susu).

Alhamdulilah, perniagaan nasi lemak itu mendapat sambutan dan setiap hari sebanyak 48 pinggan nasi lemak berjaya dijual dari pukul 5 petang hingga 10 malam, menjana pendapatan RM240 semalam. Memandangkan bahan-bahan untuk membuat nasi lemak telah dibeli secara advance maka, setiap malam pendapatan yang diperolehi itu disimpan, dalam tempoh tiga bulan, pendapatan yang diperoleh untuk tiga bulan berjumlah RM21,000 dan apabila ditolak RM800 modal, maka keuntungan bersih yang diperolehi ialah RM20,200.

Tuan-tuan, ini bukan satu silap mata, inilah pendapatan saya peroleh untuk tempoh tiga bulan dan dalam tempoh setahun ia mencecah RM80,000. Wang BR1M sebanyak RM2,000 seperti yang dijanjikan oleh BN digunakan sebagai modal dan berjaya dikembangkan sehingga RM80,000.

Bangkit semula

Kajian yang dijalankan membuktikan bahawa para peniaga kecil seperti Mak Cik Kiah boleh bangkit semula setelah tidak dapat berniaga dan telah menggunakan semua wang simpanan yang ada untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya mendapat bantuan modal dalam keadaan ini ialah bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM1,600.

Pada asasnya, para peniaga kecil seperti Mak Cik Kiah yang menjual pisang goreng, Abang Nizam yang menjual nanas MD2, Pak Mat yang menjual air setelah tidak berniaga selama sebulan kerana PKP ini akhirnya mempunyai modal untuk memulakan perniagaan mereka semula.

Jangan menghina mereka, bahawa mereka akan boros dengan bantuan tersebut, kebanyakan peniaga-peniaga ini akan menggunakan bantuan itu sebagai modal, mungkin bukan sepenuhnya tetapi paling kurang 50 peratus.

Seperti peniaga Abang Nizam yang saya kenal menjual nanas MD2, modal seminggu yang diperlukan hanya RM500 bagi membeli nanas MD2 sebanyak 500 kilogram, yang boleh dijual dengan harga sekilo RM4 dan dalam tempoh seminggu Abang Nizam mampu menjana pendapatan sebanyak RM2,000 ini tidak termasuk menjual air nanas dengan satu cawan RM1 bagi cawan kecil dan RM2 untuk cawan besar, dan nanas potong satu cawan RM4. Dengan modal RM500 dia mendapat pendapatan bersih RM1,500 seminggu bermakna dalam sebulan dia dapat menjana pendapatan bersih RM6,000 dengan modal percuma dari bantuan Prihatian Nasional.

Para peniaga kecil seperti Mak Cik Kiah dan Abang Nizam kali ini tidak akan bimbang untuk tidak ada pelanggan, kerana sekarang ini, semua golongan mendapat bantuan dan tentunya mereka mempunyai wang untuk membeli pisang goreng dan nanas.

Cumanya, apa yang dirisaukan ialah bilakah pembayaran akan dibuat, cepat ke lambat, dan adakah mereka tidak diketepikan atau ditinggalkan atau terlampau banyak birokrasi sehingga sukar untuk mendapat bantuan Prihatin Nasional, moga perkara ini tidak akan berlaku dan berharap kerajaan akan menyediakan mekanisme pembayaran dengan mudah.


HATA WAHARI ialah bekas wartawan Utusan Malaysia, bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan Consent Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS