Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pihak berkuasa cuba kesan 87 peserta himpunan tabligh di Sulawesi

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya kini sedang bekerjasama dengan polis untuk mengesan 87 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sulawesi, Indonesia pada 19 Mac lalu.

"Sebenarnya di Sulawesi juga ada perhimpunan di sana, berisiko tinggi jika anda menghadiri perhimpunan itu, jadi kami cuba mendapatkan lebih banyak maklumat.

"Daripada kumpulan Sulawesi, kami mempunyai 87 nama untuk dikenal pasti dan kami sedang cuba mengesannya dengan kerjasama polis," kata Noor Hisham pada sidang akhbar di ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia memutuskan untuk mengenakan kuarantin 14 hari terhadap rakyat Malaysia yang pulang dari Sulawesi menghadiri perhimpunan tabligh.

Untuk rekod, perhimpunan itu telah dibatalkan oleh kerajaan Indonesia. Bagaimanapun, sejumlah peserta sudah tiba lebih awal di sana sebelum ia dibatalkan.

Pihak berkuasa Malaysia mengumumkan bahawa seramai 107 rakyat Malaysia pulang dari Sulawesi.

Pada sidang media sama hari ini, Noor Hisham juga menyentuh mengenai keadaan di Menara City One, Kuala Lumpur yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas 17 kes positif dikesan di kompleks itu.

Katanya, KKM sedang membuat ujian terhadap setiap penduduk di kompleks berkenaan.

"Inilah yang kami cuba lakukan, kami perlu melihat kawasan itu dan memastikan kami meneliti setiap apartmen dan jika perlu, menguji mereka juga.

"Kami memulakan malam tadi, semua apartmen (akan disaring), bukan sekali semua, tetapi secara berperingkat," katanya.

Mengulas isu lain, beliau berkata rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini dari luar negara kini akan dihantar ke pusat kuarantin.

Menurutnya, kerajaan telah mengenal pasti 364 pusat kuarantin di Malaysia.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS