Aeon Credit memberikan penangguhan pembayaran balik selama sebulan kepada peminjamnya, bermula 1 April (esok).
“Sebagai institusi kewangan bukan perbankan, Aeon Credit akan membantu pelanggannya dengan menyediakan tempoh penangguhan bayaran balik selama sebulan kepada semua jenis pinjaman kecuali pinjaman kad kredit.
“Penangguhan ini akan diaktifkan secara automatik kepada semua pelanggan Aeon Credit tanpa sebarang prejudis, berkuat kuasa pada 1 April 2020,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Aeon Credit turut menerangkan bahawa tiada caj tambahan akan dikenakan untuk penangguhan bayaran balik tersebut.
Selain itu, Aeon Credit turut menyarankan orang ramai untuk menghubungi pejabat berdekatan untuk sebarang masalah melakukan pembayaran semula.
Ramai peminjam B40, M40 - Pemuda Umno Johor
Sebelum ini, Pemuda Umno gesa menggesa Aeon Credit melaksanakan penangguhan bayaran balik selama enam bulan susulan penularan wabak Covid-19.
Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah, hampir 90 peratus pemilik motosikal yang meminjam dengan Aeon Credit daripada golongan golongan 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40) dan 40 peratus golongan pertengahan (M40).
“Biarpun peminjam Aeon Credit berskala kecil tidak seperti institusi perbankan, namun golongan yang meminjam dengan Aeon Credit ada dalam kalangan peniaga PKS (peniaga kecil dan sederhana) yang bergantung kepada pendapatan harian.
“Jadi, situasi yang berlaku ketika ini menyebabkan mereka cukup terkesan sekali,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, Bank Negara mengarahkan bank-bank menangguhkan bayaran balik hutang peminjam untuk semua pinjaman dan bayaran kewangan kecuali untuk baki kad kredit selama enam bulan, bermula 1 April.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.