Tindakan Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang semalam menyertai - dan terlibat secara langsung - proses nyah kuman Covid-19 turut menerima kecaman pakar perubatan.
Perunding Pediatrik dan Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, menyifatkan tindakan ahli parlimen Ampang itu sebagai "tidak bertanggungjawab".
Menurut beliau, dalam keadaan sekarang adalah lebih baik untuk Zuraida berada di rumah berbanding menyembur bahan sanitasi seperti yang dilakukannya semalam.
"Ini mengurangkan lagi benteng pertahanan terakhir kita (bekalan baju pelindung) dalam menyaring dan menyelamatkan pesakit Covid-19," kata Musa dalam kiriman Twitternya.
Beliau memberi respons terhadap ciapan pengguna media sosial lain terhadap tindakan Zuraida itu.
Ciapan Musa itu kemudian mendapat reaksi daripada pengikutnya di media sosial.
Untuk rekod Musa memang dikenali sebagai doktor yang selalu berterus-terang untuk menyampaikan pandangannya.
Sering dijemput sebagai panel dalam program televisyen membabitkan hal perubatan, pakar perubatan itu baru-baru ini 'mengamuk' dalam salah satu terbitan kerana kecewa dengan sikap segelintir orang yang tidak mengendahkan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Semalam, Zuraida menjadi tumpuan ramai - termasuk kalangan ahli politik kerana menyarung pakaian lengkap seperti petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19 semasa menyembur bahan nyah kuman di Petaling Jaya.
Operasi itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, majlis perbandaran dan Kementerian Kesihatan.
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir pagi tadi turut mengkritik tindakan Zuraida dan menganggap ia sebagai suatu gimik politik bagi meraih populariti ketika Covid-19.
Kata Akmal, sekarang bukanlah masa untuk menteri mencari publisiti ataupun membazirkan sumber yang ada ketika negara dalam situasi sukar.
"Hentikan teknik gimik politik. Sekarang bukanlah masa untuk menteri cari publisiti.
"Jangan bazirkan sumber. Dalam keadaan kita kekurangan PPE (pakaian perlindungan peribadi) dan ada petugas terpaksa gunakan plastik sampah untuk lindungi negeri," katanya kepada Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.