Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MDES tampung peralatan perubatan petugas Wisma Putra
Diterbitkan:  Mar 31, 2020 3:20 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Kementerian Luar Negeri mengambil inisiatif menubuhkan Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES), iaitu tabung bagi memenuhi kekurangan peralatan perubatan yang dihadapi petugas barisan hadapan di Wisma Putra sama ada di dalam mahupun luar negara.

Menterinya, Hishamuddin Hussein berkata tabung itu merupakan inisiatif kebajikan bagi memberi peluang kepada semua pihak menyumbang peralatan perubatan tanpa mengambil bekalan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diagih kepada warga Wisma Putra termasuk yang bekerja di Kedutaan Malaysia di seluruh dunia.

Ini kerana, katanya, bekalan perubatan amat penting bagi memastikan pegawai Wisma Putra yang terpaksa bertugas di negara yang teruk terjejas dengan wabak Covid-19 mengambil langkah pencegahan untuk elak dijangkiti.

“Saya sangat terhutang budi kepada seluruh warga Wisma Putra terutama Taskforce Covid-19 di Putrajaya, serta mereka yang bertugas di Perwakilan Malaysia di 106 buah negara.

“Saya percaya salah satu langkah pencegahan terbaik ialah membekalkan mereka dengan sarung tangan perubatan (medical gloves), penutup hidung dan mulut dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) yang mencukupi.

“Namun saya tidak mahu menambah beban kerajaan atau mengambil peralatan perubatan dari Nadma untuk diberi kepada mereka. Saya faham frontliner kita di hospital serta anggota PDRM dan ATM amat memerlukannya,” kata Hishammuddin di Facebooknya hari ini.

Selain itu, beliau juga memberitahu kerajaan China menjadi pihak pertama yang memberi sumbangan kepada MDES iaitu sebanyak 10,000 penutup hidung dan mulut.

“Saya harap ramai lagi akan menyumbang. Insya-Allah, sekiranya jumlah peralatan perubatan yang terkumpul menerusi MDES melebihi keperluan frontliners Wisma Putra, kita akan serahkan kepada Nadma untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS