Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,000 ayam percuma untuk penduduk 10 kampung di Pontian

Menyedari kesempitan yang dirasai orang ramai ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), sebuah syarikat menyumbangkan 1,000 ekor ayam untuk kegunaan penduduk di 10 buah kampung sekitar Pontian, Johor.

Menurut pengarah bukan eksekutif syarikat Ayam Norliza, Badrulhisyam Baharudin, sumbangan tersebut diagih-agihkan kepada penduduk kampung terbabit yang terletak berhampiran dengan mereka di Kampung Parit Baru.

Kata Badrulhisyam, 23, ketika ini syarikatnya memang sedikit terjejas dari segu jualan kerana banyak kedai - termasuk kedai makan - ditutup.

"Tapi bila saya tengok balik, orang kampung saya lebih teruk daripada kami. Maksudnya mereka nak makan pun tak ada.

“Sebab itu, Ayam Norliza mengambil inisiatif ini dengan menggunakan sedikit wang syarikat untuk menyumbangan kepada penduduk.

"Selama ini pun merekalah yang kuat menyokong kami selama ini. Kerana itu kami bagi baliklah untuk mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Kaya dunia, kaya akhirat

Terdahulu syarikat itu menjadi perhatian selepas didapati mengedarkan 1,000 ayam percuma kepada pekerja mereka serta penduduk kampung.

"Syarikat kami berasakan pemberian amat diperlukan orang kampung dalam keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan.

“(Kami) Bukanlah bangsawan mahupun selebriti, hanya penjual ayam bersimpati,” kata Badrulhisyam di Twitter.

Hantaran itu turut mengepilkan beberapa gambar ayam dimuatkan dalam kenderaan pikap, serta gambar sumbangan diserahkan buat penduduk kampung. 

Kata Badrulhisyam ayam terbabit diagih-agihkan selama tiga hari sejak 19 Mac lalu. Antara penerimanya ialah kira-kira 200 pekerja Ayam Norliza.

Ciapan Badrulhisyam itu setakat ini diulang ciap lebih 11,000 kali di Twitter.

“Inilah mana sebenar kaya. Kamu kaya secukupnya di dunia dengan amal (kebaikan) kamu dan kamu akan kaya di akhirat juga. Insya-Allah. Amin,” kongsi seorang pengulang ciap.

“Anggaran seekor RM15, kali 1,000 ekor, masya-Allah bro, kamu buat sesuatu yang menakjubkan,” kongsi seorang lagi pengguna Twitter yang mengulang ciapan Badrulhisyam.

Menurut Badrulhisyam yang juga pelajar perubatan tahun keempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, sumbangan berkenaan mungkin akan diteruskan setelah keadaan kembali pulih.

“Sekarang ini kerajaan pun macam agak perketatkan (PKP), jadi kita tak boleh sewenang-wenangnya bagi bantuan, kan? Jadi sebab itu kami dah habis bagi tu, kami berhenti dulu.

“Tengok apabila keadaan dah stabil sedikit, baru kami sambung. Tengok macam mana,” katanya lagi yang kini menetap di rumah keluarganya, juga di Kampung Parit Baru kerana diarahkan pulang sebelum PKP dikuatkuasakan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS