Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir menyelar tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang didakwanya melakukan gimik politik bagi meraih publisiti ketika Covid-19.
Beliau berkata, sekarang bukanlah masa untuk menteri mencari publisiti ataupun membazirkan sumber yang ada ketika negara dalam situasi sukar.
"Hentikan teknik gimik politik. Sekarang bukanlah masa untuk menteri cari publisiti.
"Jangan bazirkan sumber. Dalam keadaan kita kekurangan PPE dan ada petugas terpaksa gunakan plastik sampah untuk lindungi negeri," katanya kepada Malaysiakini.
Jelasnya tenaga yang ada ketika ini sepatutnya dimanfaatkan bagi tujuan lebih kritikal dan bukannya mengiringi menteri untuk melakukan gimik politik.
"Sumber tenaga yang boleh digunakan tujuan lain terpaksa mengiring dan teman menteri buat gimik," tambahnya lagi.
Semalam, Zuraida turut serta pelaksanaan sanitasi ataupun proses penyahkuman membabitkan enam lokasi zon merah Covid-19 yang dilakukan secara berperingkat.
Enam kawasan berkenaan termasuk Petaling Jaya, Lembah Pantai, Hulu Langat, Seremban, Johor Bharu, dan Kluang.
Operasi ini melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan polis, majlis perbandaran, dan juga Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, Akmal berkata dalam situasi ketika ini menteri sepatutnya lebih peka dan simpati terhadap nasib rakyat dan bukannya sibuk mencari publisti.
"Menteri perlu lebih peka dan simpati dengan nasib rakyat dalam kedaan rakyat terpaksa berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP)," jelasnya.
Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas Zuraida.