Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua warga emas daki Gunung Lambak ditahan ingkar PKP
Diterbitkan:  Mar 31, 2020 11:51 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Tindakan dua lelaki warga emas mendaki Gunung Lambak dekat Kluang petang semalam membawa padah, apabila kedua-duanya ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata lelaki berusia 64 dan 66 tahun itu ditahan pada kira-kira 2 petang oleh sepasukan polis hasil daripada maklumat yang diterima.

“Ketika rondaan, pihak polis menerima maklumat bahawa terdapat dua lelaki warga tempatan sedang mendaki Gunung Lambak.

“Hasil siasatan awal kedua-duanya tidak dapat memberi alasan yang munasabah mengapa mereka berada di luar rumah ketika dalam tempoh PKP. Justeru itu, mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kluang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, Gunung Lambak ditutup sepenuhnya sejak arahan PKP dikeluarkan pada 18 Mac lepas.

Katanya kes disiasat mengikut Peraturan (7) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Ia membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS