Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
China kini hadapi ancaman Covid-19 import
Diterbitkan:  Mar 31, 2020 11:40 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

GLOBAL | Setelah empat hari menunjukkan penurunan, tanah besar China hari ini mencatatkan peningkatan kes Covid-19, melibatkan rakyat mereka yang pulang dari luar negara.

Memetik kenyataan Suruhanjaya Kesihatan China, Reuters melaporkan, ada 48 kes baru dicatatkan semalam, meningkat berbanding 31 kes sehari sebelumnya.

Kesemua 48 kes itu membabitkan kes import. Ia menjadikan bilangan kes import Covid-19 di China sebanyak 731 setakat semalam. Pada masa sama, tiada kes tempatan baru dilaporkan.

Kes jangkitan tempatan kebanyakannya menurun, namun pihak berkuasa bimbang negara itu kini berdepan dengan ancaman jangkitan dari negara luar.

Ini menyebabkan China menggiatkan protokol saringan kesihatan dan kuarantin, mengurangkan bilangan penerbangan antarabangsa dan menghalang kemasukan kebanyakan pelawat asing.

Daripada kes baru yang dicatatkan semalam, 10 dilaporkan di kawasan autonomi Mongolia di utara China, melibatkan penumpang penerbangan yang dilencongkan dari Beijing ke Hohhot, ibu negeri wilayah terbabit, baru-baru ini.

Shanghai pula mencatatkan 11 kes baru, dengan kebanyakannya melibatkan warga China yang pulang dari luar negara, sementara Beijing melaporkan tiga kes.

Wuhan ibu negeri wilayah Hubei yang merupakan pusat penularan Covid-19 - tidak mencatatkan sebarang kes baru untuk tujuh hari berturut-turut.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kes di tanah besar China adalah sebanyak 81, 518 kes dengan 3, 305 kematian.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS