Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian akibat Covid-19 di AS kini lebih 3,000 orang

GLOBAL | Korban akibat Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) kini mencecah angka 3,000 orang selepas semalam saja seramai 500 kematian dicatatkan.

Ia merupakan kematian tertinggi dalam sehari yang dicatatkan setakat ini.

Mengikut perkiraan Reuters, angka terbaru semalam menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 3,001 kes daripada 160,000 kes positif.

AS merupakan negara yang mencatatkan kes positif tertinggi di dunia, dan angka itu dijangka melonjak apabila ujian saringan mula diperluaskan.

Dalam taklimat White House, Presiden Donald Trump dilaporkan berkata lebih sejuta rakyat AS iaitu kurang daripada 3 peratus populasi negara itu - disahkan positif.

Meskipun sedang melipatgandakan ujian saringan, AS masih dianggap ketinggalan kepada Itali dan Korea Selatan jika dibandingkan secara per kapita penduduk.

Di Califonia, kes Covid-19 dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh empat hari terakhir ini, dan bilangan pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi pula meningkat hingga tiga kali ganda.

Trump pernah anggap remeh 

Bagi menampung rawatan di hospital, sebuah kapal hospital yang dilengkapi dengan kemudahan 1,000 katil tiba di New York, semalam.

Orang ramai berkumpul di Sungai Hudson - di sebelah New York dan New Jersey - bagi meraikan ketibaan Comfort, kapal tentera laut AS yang diubah suai daripada kapal tangki minyak.

Comfort yang dicat putih dengan palang merah gergasi itu diiringi helikopter dan kapal pengiring ketika melepasi Statue of Liberty.

Ia akan digunakan untuk merawat kes selain Covid-19, termasuk mereka yang memerlukan pembedahan dan rawatan rapi.

“Sekarang masa perang, kita perlu berganding bahu merempuhinya,” kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, antara pegawai tinggi yang menyambut ketibaan Comfort di dermaga Midtwon Manhattan.

Kerana jangkitan Covid-19 yang semakin menular, hospital-hospital di New York sesak dengan pesakit yang dijangkiti wabak dengan gejala masalah pernafasan itu.

Bagi mengurangkan beban hospital di New York, satu hospital lapangan yang boleh menempatkan 68 katil juga mula dibina pada Ahad di Central Park - kawasan yang selalu digunakan warga New York untuk beriadah, berkelah dan menyambut musim bunga.

Kata de Blasio, fasiliti sementara yang didirikan dengan khemah-khemah putih yang disediakan Hospital Mount Sinai serta NGO Samaritan’s Purse itu dan dijangka menerima pesakit mulai hari ini.

Gabenor New York, Andrew Cuomo, berkata padang-padang permainan di bandar-bandar berkepadatan tinggi juga mungkin ditutup.

Cuomo dan de Blasio adalah antara pegawai kerajaan yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap cara Trump menangani krisis itu serta kekurangan alat bantuan pernafasan dan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE).

Trump pada awalnya meremehkan risiko Covid-19 terhadap AS, menyebabkan dirinya menerima kritikan daripada pegawai-pegawai kesihatan dan musuh politik, termasuk bekas Naib Presiden Joe Biden dari Parti Demokrat yang akan mencabar Trump pada pilihan raya presiden 3 November nanti.

“Kita membiarkan benih-benih itu disemai. Sekarang, tak boleh buat apa, tunggu sajalah ia kian bercambah.

"Banyak daripada kematian ini semakin menular,” kata Dana Miller, 61, yang merupakan bekas pegawai polisi kesihatan kerajaan.

Trump pada Ahad lalu mengumumkan perintah larangan meninggalkan kediaman dipanjangkan kepada 30 hari berbanding arahan asal selama 15 hari.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS