Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB: Agihan barang makanan pada penduduk Sg Lui bermula malam ini

Mulai malam ini, Kerajaan Selangor akan membekalkan barangan makanan kepada semua isi rumah di kawasan Sungai Lui, Hulu Langat yang diletak di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata pihaknya juga bersedia membantu menambah sebarang keperluan sepanjang tempoh PKPD di kawasan itu.

"Pemakluman secara menyeluruh juga akan dilakukan kepada semua yang terlibat melalui ‘Info On Wheels’ Jabatan Penerangan Negeri Selangor termasuk siaraya di masjid dan surau di setiap kawasan tentang perkara-perkara yang perlu dipatuhi sepanjang PKPD, serta maklumat yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan luar jangka," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menyentuh Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua yang bermula pada 1 April, beliau berkata operasi Pasar Borong dan Pasar Awam akan dihadkan sehingga 4 petang manakala perniagaan lain seperti kedai serbaneka, stesen minyak, kedai makan dan restoran hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

"Penyelarasan lanjut dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pegawai-Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah akan diselaraskan oleh Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor.

"Kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama kepada Majlis Keselamatan Negara dalam melaksanakan mekanisme yang berkaitan dalam usaha menggempur penularan Covid-19," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS